Prospek pusat data SunCon pada kedudukan baik, buku pesanan diunjur cecah  RM11 bilion - RHB Research  | DagangNews Skip to main content

Prospek pusat data SunCon pada kedudukan baik, buku pesanan diunjur cecah  RM11 bilion - RHB Research 

Gambar hiasan dari laman web rasmi Sunway Construction
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Jumlah buku pesanan pusat data (DC) anak syarikat Sunway Group, Sunway Construction Group Bhd (SunCon) dijangka mencecah RM11 bilion di tengah-tengah sekatan cip kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat (AS) ke atas negara Tahap-2 seperti Malaysia, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun nilai saham SunCon merosot, RHB Research berpendapat projek DC syarikat kekal pada kedudukan yang baik.

 

Katanya, sekatan tersebut dijangka memberi kesan yang minimum ke atas pusat data SunCon disokong oleh hubungan kukuh syarikat dengan pelanggan dari negara Tahap-1. 

 

"Ramai pelanggan ini dijangka memohon status pengguna akhir disahkan universal yang membolehkan mereka mendapatkan kuantiti cip AI yang lebih besar dan mengurangkan kesan perubahan dasar AS.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan "beli" ke atas saham SunCon, dengan harga sasaran (TP) RM5.50," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Penglibatan SunCon dalam projek JHBX10 DC di Johor telah menghasilkan kontrak bernilai RM3.9 bilion, meliputi 100MW hingga 150MW kapasiti.

 

Dengan jumlah unjuran kapasiti JHBX10 DC dianggarkan antara 200MW dan 300MW, kerja-kerja pembesaran masa hadapan dijangka memberi peluang tambahan bagi SunCon memperoleh kontrak.

 

Selain daripada DC, SunCon dijangka untuk mendapat manfaat daripada inisiatif pendigitalan dan pembangunan infrastruktur negara yang lebih luas.

 

Ini termasuk potensi anugerah segmen 2 projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan pembangunan pusat perubatan akan datang oleh syarikat induknya, Sunway Group.

 

Desakan negara untuk pendigitalan dan pelaburan berterusan oleh pemain teknologi global dijangka memacu permintaan perkhidmatan SunCon pada masa hadapan.

 

RHB Research mengekalkan anggaran pendapatannya terhadap SunCon, menekankan  penilaian dagangan semasa saham sebanyak 18.9 kali harga kepada pendapatan (P/E) FY25 adalah menghampiri paras yang diperhatikan pada 2017. 

 

"TP sebanyak RM5.50 berdasarkan harga hadapan kepada pendapatan sebanyak 27 kali ganda pendapatan FY25, mencerminkan kepimpinan pasaran SunCon dan penjajaran dengan trend pendigitalan global.

 

"Dengan buku pesanannya yang mantap, potensi kemenangan kontrak selanjutnya dengan pelanggan pusat data Tahap-1, SunCon kekal sebagai cadangan yang menarik untuk pelabur. 

 

"Risiko yang boleh menjejakan saranan SunCon termasuk pesanan yang lebih perlahan daripada jangkaan dan potensi kelewatan dalam anugerah projek utama," katanya. - DagangNews.com