Festival Singles' Day Alibaba rekod jualan berbilion | DagangNews Skip to main content

Festival Singles' Day Alibaba rekod jualan berbilion

 

 

HANGZHOU 11 Nov. - Syarikat e-dagang gergasi China, Alibaba Group Holding Ltd. merekodkan jualan melebihi AS$56 bilion menerusi festival beli-belah mega, Singles' Day. 

Menurut Reuters, tahun ini, festival itu diadakan awal seminggu selepas Alibaba kerugian AS$76 bilion daripada nilai pasaran ekoran kegagalan penyenaraian Ant Group bernilai AS$37 bilion. Alibaba memiliki satu pertiga pegangan dalam syarikat ini. 

Alibaba melancarkan acara tahunan dalam talian itu dengan dua tempoh diskaun utama bermula 1 hingga 3 November dan sekali lagi, 11 November. 

Syarikat akan mengira jumlah dagangan kasar (GMV) selama 11 hari penuh, berbanding kebiasaannya, 24 jam.

Menurut Alibaba, setakat pagi tadi, nilai GMV sudah melepasi 372.3 bilion yuan dengan kadar tempahan mencecah rekod tertinggi sehingga 583,000 sesaat. 

Malah, syarikat itu akan memperkenalkan lebih 2 juta produk baru, dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Syarikat lain seperti Douyin, TikTok China versi ByteDance Technology Co Ltd., JD.com Inc dan Pinduoduo Inc juga menganjurkan acara beli-belah Singles Day.  

JD.com memulakan promosi beli-belah pada 1 November, merekodkan 200 bilion yuan nilai jualan dalam tempoh 9 minit selepas tengah malam. 

Penganalisis menjangkakan, tahun ini akan menyaksikan lonjakan pembelian bagi barang-barang mewah memandangkan mereka sudah biasa melancong ke luar negara untuk membeli-belah berbanding ketika ini akibat sempadan masih ditutup akibat pandemik COVID-19. 

Penganalisis peruncitan di Publicis Sapient, Andy Halliwell berkata, apabila pelancong tidak dapat mengunjungi butik-butik mewah dan ternama seperti Harrods, Galeries Lafayette dan Nordstroms di Eropah dan Amerika Syarikat (AS), keadaan ini akan melonjakkan pembelian di peringkat domestik. 

Alibaba kali pertama melancarkan acara beli-belah itu pada 2009 dan merekodkan jualan dalam talian terbesar di dunia, mengatasi Cyber di AS. 

Tahun lalu, ia merekodkan nilai GMV sebanyak AS$38.4 bilion untuk hari yang sama. - DagangNews.com