KUALA LUMPUR 9 Nov - FGV Holdings Berhad (FGV), melalui anak syarikatnya, Felda Travel Sdn Bhd (Felda Travel) memeterai perjanjian kerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk melancarkan fasiliti pembiayaan peribadi patuh syariah baharu, untuk tujuan umrah, haji dan pakej pelancongan.
Pengarah Bahagian Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad berkata, kerjasama dengan BSN, sebuah institusi kewangan yang terkemuka dalam negara, adalah penting bagi Felda Travel dalam memperkukuhkan kedudukannya sebagai agensi pelancongan yang dipercayai dan menjadi pilihan rakyat Malaysia.
"Kami juga berbangga kerana dapat bekerjasama menawarkan kemudahan pembiayaan perkhidmatan perjalanan umrah, haji dan pakej pelancongan mampu milik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid pula berkata, berpegang teguh kepada visi ‘Tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan’, BSN sentiasa peka dengan keperluan masyarakat dengan mempelbagaikan penawaran produk dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang disesuaikan dengan pelbagai segmen.
"Oleh itu, kami mengalu-alukan kerjasama dengan Felda Travel sebagai rakan kongsi melalui pembiayaan peribadi untuk umrah, ziarah dan pakej pelancongan ini.
"BSN adalah satu-satunya bank yang menawarkan ‘Pembiayaan Peribadi Umrah, Haji' dan pakej pelancongan dengan kadar yang kompetitif. Anda juga turut berpeluang untuk memenangi hadiah melalui Cabutan BSN SSP yang dijalankan pada setiap bulan," katanya.
Terdahulu, perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Felda Travel, Amirul Hadi Azlan dan Ketua Perbankan Runcit BSN, Norainah Mohmad Zakuan yang turut disaksikan Azman dan Mujibburrahman.
Dalam pada itu, Felda Travel mencatatkan prestasi yang stabil bagi segmen pelancongan korporat dan terus mengukuhkan perniagaan untuk segmen umrah dan haji sejak 17 tahun lalu.
Daripada tempahan penerbangan dan penginapan sehingga transit, jemaah dari kota suci Makkah dan Madinah dapat melengkapkan perjalanan mereka dengan lebih yakin dan tenang.
Pembiayaan peribadi BSN yang baru dilancarkan ini khusus untuk kakitangan kerajaan dan swasta terpilih bagi menunaikan umrah, haji dan pakej pelancongan bersama Felda Travel, rakan kongsi pelancongan BSN.
Kemudahan kewangan itu membenarkan jumlah pembiayaan sehingga RM200,000 untuk tempoh maksimum 10 tahun.
Permintaan umrah dan haji baru-baru ini meningkat dengan ketara selepas ditangguhkan selama lebih dua tahun kerana COVID-19. Sebelum COVID-19, lebih 270,000 rakyat Malaysia menunaikan umrah, dengan 30,000 lagi jemaah menunaikan haji setiap tahun. - DagangNews.com