KUALA LUMPUR 22 Dis - FGV Holdings Bhd. merancang untuk mengumpul sehingga RM500 juta menerusi program Sukuk Murabahah, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat perladangan ini memberitahu, ia telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Isnin untuk menubuhkan program sukuk berkenaan selepas menerima kelulusan Majlis Penasihat Syariah SC pada 10 Disember lalu.
Jelasnya, Program Sukuk Murabahah akan menyediakan FGV kepada alternatif akses pembiayaan dalam pasaran modal hutang tempatan sebagai tambahan kepada pinjaman bank konvensional.
"Hasil daripada program sukuk ini akan digunakan oleh FGV untuk membiayai semula pembiayaan atau pinjaman sedia ada.
"Untuk mengelakkan sebarang keraguan, penggunaan hasil Program Sukuk Murabahah hendaklah bagi tujuan patuh syariah," jelasnya.
Menurut FGV, program berkenaan akan mempunyai tempoh 8 tahun mulai dari tarikh terbitan pertamanya, yang akan dibuat dalam tempoh 60 hari perniagaan dari tarikh penyerahan dengan SC, manakala setiap terbitan individu sukuk di bawah program itu akan mempunyai tempoh dari 1 hingga 8 tahun.
"Sukuk Murabahah di bawah program ini adalah tidak dinilai," tambahnya.
Maybank Investment Bank Bhd. merupakan penasihat utama, pengatur utama dan pengurus utama bagi Program Sukuk Murabahah, manakala Maybank Islamic Bhd. adalah penasihat syariah. - DagangNews.com