Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 April - Syarikat perladangan, FGV Holdings Berhad komited untuk terus mempertingkatkan amalan buruhnya sebagai usaha membatalkan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) pada 30 September 2020.
Untuk rekod, WRO itu dikeluarkan ke atas produk dan minyak sawit yang dihasilkan oleh FGV termasuk anak syarikat dan usaha samanya.
Dalam sebuah kenyataan, FGV menekankan pihaknya terus bekerjasama dengan Fair Labor Association (FLA) untuk memperbaiki struktur dan sistem bagi meningkatkan amalan buruhnya termasuk menyelaraskan polisi dan kod-kod dengan standard antarabangsa.
Ini termasuk penggunaan Polisi Kelestarian Kumpulan (GSP) yang telah disemak semula di mana peruntukan mengenai tenaga buruh diperkasa berdasarkan Kod Tingkah Laku Tempat Kerja FLA, jelas FGV.
“FGV juga mengukuhkan prosedur bagi pengambilan pekerja migran dan akan menambah penilaian pra sumber untuk proses pemilihan agensi perekrutan. Pada bulan Februari dan Mac 2021, FLA menjalankan pengesahan kedua untuk menilai kemajuan FGV dalam melaksanakan pelan tindakannya di bawah gabungan FLA.
“Walaupun laporan kemajuan akan diterbitkan oleh FLA pada 31 Mac 2021, FGV telah mengadakan perbincangan dengan FLA mengenai isi laporan dan mengambil maklum jurang yang diketengahkan oleh FLA mengenai beberapa aspek termasuk mekanisme rungutan FGV, prosedur pemulihan dan struktur perwakilan pekerja. FGV akan terus bekerjasama dengan FLA untuk menginstitusikan mekanisme bagi mengatasi jurang ini, dan mengukuhkan dan meningkatkan lagi amalan buruh kami.
“Untuk melengkapkan usaha ini, FGV telah menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pekerja Asing (FWWC), yang dipengerusikan oleh Pengerusi FGV, untuk melihat penambahbaikan berterusan terutamanya menaik taraf infrastruktur di lapangan untuk memastikan kesejahteraan pekerja kami dijaga sepenuhnya,” kata firma itu.
Ujar syarikat itu lagi, FGV turut memperuntukkan dana tambahan berjumlah RM43 juta pada tahun 2021 untuk meningkatkan lagi kemudahan bagi pekerja termasuklah membaik pulih perumahan lama di 169 ladang dan menaik taraf peralatan untuk memastikan bekalan elektrik dan air tanpa gangguan.
Tambah FGV, bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan pekerja, FGV telah menubuhkan 13 klinik di ladang-ladangnya yang terletak di kawasan terpencil, dengan bimbingan dan kelulusan Kementerian Kesihatan.
“Semua inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha FGV untuk menambah baik amalan buruhnya dan pada masa yang sama menangani kebimbangan yang disuarakan oleh CBP AS berhubung dengan 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkenaan buruh paksa.
“FGV komited untuk menyelesaikan perkara ini dengan CBP dan akan meninjau semula pelantikan firma bebas pada bulan Jun 2021 bagi audit luaran yang komprehensif mengenai amalan buruh FGV, seperti yang disarankan oleh CBP,” kata FGV lanjut. - DagangNews.com