FGV lancar pelan tindakan perubahan iklim ke arah syarikat sifar bersih menjelang 2050 | DagangNews Skip to main content

FGV lancar pelan tindakan perubahan iklim ke arah syarikat sifar bersih menjelang 2050

 

 


KUALA LUMPUR 28 Sept. - FGV Holdings Bhd. melancarkan pelan tindakan perubahan iklim bagi keseluruhan kumpulan syarikat demi menangani perubahan iklim, sejajar dengan aspirasinya untuk menjadi syarikat sifar bersih menjelang 2050.

 

FGV merupakan syarikat makanan dan perladangan pertama di Malaysia yang memformalkan komitmen tersebut dengan menandatangani ikrar Business Ambition for 1.5°C yang diterajui oleh SBTi. 

 

Ikrar ini turut disokong oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai usaha utama untuk mengehadkan pemanasan global pada paras 1.5°C.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, kumpulan telah memulakan dan menerapkan usaha transformasi ke arah impak sifar terhadap alam sekitar dengan menyediakan pelan tindakan perubahan iklim bersepadu.

 

Katanya, pelan tersebut berdasarkan 6 faktor strategik utama meliputi pengurusan risiko dan tadbir urus iklim, pengurusan karbon, kecekapan operasi, pengurusan bahan buangan, pengurusan air, dan kesedaran tentang perubahan iklim. 

 

"Pelan tindakan iklim bersepadu ini penting untuk menjamin kejayaan FGV untuk mencapai sasaran pengurangan karbon," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sasaran pengurangan karbon berpandukan sains menyediakan rangka kerja pengurusan karbon yang ditentukan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sejajar dengan sains iklim semasa demi mengehadkan peningkatan suhu global pada paras 1.5°C. 

 

Komitmen terhadap sasaran berpandukan sains mengutamakan FGV untuk mengurangkan sebanyak separuh daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030 dan mencapai sasaran sifar bersih selewat-lewatnya pada 2050. 

 

Oleh itu, FGV juga perlu menetapkan sasaran jangka pendek dan sederhana untuk memastikan keberkesanan pengurangan karbon tahunan secara konsisten.

 

Mohd. Nazrul berkata, FGV ditubuhkan untuk membasmi kemiskinan berdasarkan prinsip pembangunan lestari dan disebabkan kesan buruk daripada pemanasan global, ia cenderung mempengaruhi masyarakat yang berpendapatan rendah

 

"Jadi, adalah menjadi kewajipan FGV sebagai syarikat dan pemain utama industri yang bertanggungjawab untuk berada di barisan hadapan dalam menangani perubahan iklim,” katanya. 

 

Selain daripada penubuhan Jawatankuasa Kelestarian Lembaga Pengarah baru-baru ini yang berperanan untuk membantu Lembaga Pengarah FGV bagi menjayakan agenda kelestarian FGV, kumpulan juga telah menubuhkan unit tindakan perubahan iklim yang mempunyai peranan khusus berperanan menyusun strategi dan melaksanakan program tindakan iklim. 

 

Penggubahan semula ini menguatkan lagi komitmen FGV terhadap agenda perubahan iklim, perlindungan alam sekitar dan agenda kelestarian.

 

Berkenaan dengan kepimpinan korporat mengenai kesedaran tentang perubahan iklim, Mohd Nazrul berkata, memastikan suhu di bawah 1.5°C hanya boleh dicapai melalui tindakan bersama pelbagai pihak. 

 

"Petugas dan pengguna kami harus menerapkan nilai yang sama agar syarikat dapat memenuhi komitmennya terhadap kelestarian dan ekonomi sifar bersih.

 

“Oleh itu, FGV menyeru kerajaan dan sektor swasta untuk turut bersama dalam mewujudkan ekonomi sifar bersih. Kami juga mengalu-alukan kerjasama dengan pihak kerajaan dan sektor swasta dalam mendorong kesedaran dan komitmen terhadap tindakan iklim di peringkat nasional,” tambahnya.

 

Selari dengan kepentingan kesedaran tentang perubahan iklim, FGV melancarkan program ‘SMART4Climate’ yang merupakan program induk kepada kempen kesedaran perubahan iklim di FGV. 

 

Program-program di bawah SMART4Climate menyasarkan kakitangan FGV dan orang ramai dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim di peringkat nasional. 

 

Sebagai sebahagian daripada program SMART4Climate, FGV akan melancarkan pertandingan esei pada peringkat nasional mengenai perubahan iklim yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

 

Sebagai respon terhadap peningkatan desakan bagi tindakan iklim dan kejayaan sasaran berpandukan sains, FGV berharap agar syarikat-syarikat lain akan turut mengambil tindakan segera dan komited terhadap sasaran pengurangan pelepasan berpandukan sains dalam usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu global pada paras 1.5°C. - DagangNews.com