KUALA LUMPUR 20 Julai - FGV Holdings Bhd melantik Azmi Yaakop sebagai ketua pegawai komunikasi strategik kumpulan baharunya, berkuat kuasa 15 Julai 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nazrul Izam Mansor berkata FGV berbesar hati mengalu-alukan Azmi Yaakop ke syarikat itu.
“Melangkah ke hadapan, selaras dengan visi kami untuk menjadi antara perniagaan tani terkemuka, bersepadu dan mampan di dunia, pengalaman luas Azmi akan membawa kami ke tahap yang lebih tinggi untuk kejayaan jangka panjang syarikat.
"Beliau juga akan memberikan nilai yang lebih besar untuk pelanggan dan pihak berkepentingan kami," kata Nazrul dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut FGV, Azmi mempunyai pengalaman bekerja di dalam dunia korporat lebih 22 tahun, terutamanya dalam strategi komunikasi.
Azmi menyertai FGV daripada British American Tobacco (BAT) Malaysia Bhd, di mana beliau adalah ketua hal ehwal luar, yang bertanggungjawab terutamanya untuk agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) BAT dan kategori portfolio baharu.
Beliau telah berkhidmat dengan pelbagai syarikat multinasional, termasuk Aramco Overseas Malaysia Sdn Bhd, sebagai perhubungan awam dan kerajaan.
Beliau juga pernah menjadi ketua hal ehwal korporat BASF Petronas Chemicals Malaysia dan penasihat komunikasi Shell Business Service Centre Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Shell IT International Sdn Bhd).
Azmi juga telah berkhidmat dengan pelbagai syarikat tersenarai awam dan berkaitan kerajaan (GLC) seperti Celcom Axiata Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan Hong Leong Group Capital Bhd.
Azmi memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia dan ijazah sarjana muda sastera dengan jurusan berganda dalam bidang ekonomi dan komunikasi massa dari Indiana University Bloomington, Amerika Syarikat. - DagangNews.com