FGV pastikan produk keluarannya mencukupi sepanjang PKP | DagangNews Skip to main content

FGV pastikan produk keluarannya mencukupi sepanjang PKP

FGV akan memastikan keseluruhan rantaian bekalan makanan dari bahan mentah hingga pembungkusan dan penghantaran tidak akan terganggu sepanjang tempoh lockdown ini.

 

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - FGV Holdings Berhad akan memastikan bekalan produk penggunanya mencukupi untuk pasaran sepanang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

 

Rangkaian produknya merangkumi minyak masak, gula, beras, santan, marjerin, vanaspati, mi segera, krimer, susu segar dan pelbagai produk makanan lain di bawah jenama Saji, Adela, Gula Prai, Seri Pelangi, Tiga Udang, Bright Cow dan Premeo.

 

Pegawai Bertanggungjawab dan Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad berkata, sebagai sebuah organisasi yang berada dalam industri makanan penting, FGV memberi jaminan bahawa semua bekalan produknya tersedia sepanjang tempoh mencabar ini.

 

Katanya, kumpulan akan terus bekerja keras dengan kilang pengeluaran dan pembekal serta pada masa sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. 

 

"Ini untuk memastikan bahawa kesuluruhan rantaian bekalan makanan dari bahan mentah hingga pembungkusan dan penghantaran tidak akan terganggu sepanjang tempoh ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, FGV juga membantu mengurangkan pergerakan pengguna semasa PKP melalui platform Gogopasar, sebuah pasar runcit e-dagang FGV. 

 

"Gogopasar kini meningkatkan penghantaran ke rumah keesokan harinya untuk sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut, daging dan ayam segar demi memenuhi keperluan pengguna di Lembah Klang," tambahnya.

 

Aplikasi Gogopasar boleh didapati untuk pengguna Android dan iOS dan melalui portal www.gogopasar.com.

 

FGV juga menawarkan pilihan membeli-belah dalam talian sebagai tambahan untuk penggunanya, di mana produk boleh didapati di platform KedaiFGV melalui laman web www.kedaifgv.com, dan Shopee di https://shopee.com.my/kedaifgv.

 

FGV mempunyai rantaian bekalan bersepadu dari ladang ke meja, terutama melalui produk berasaskan sawit yang membantu memastikan bekalan minyak dan lelemak yang mencukupi di pasaran. 

 

Melalui sektor pertanian bersepadu, FGV menceburi segmen makanan baru seperti tanaman kontan, padi dan juga tenusu untuk menyumbang kepada sekuriti makanan negara dan mengurangkan kebergantungan pada makanan import.

 

Azman berkata, bekalan tanaman kontan bernilai tinggi baru seperti nanas MD2 dan pisang Cavendish dengan jenama Ladang’57 juga mencukupi dan tersedia di pasaran tempatan sepanjang tempoh lockdown ini.

 

“Selain produk pengguna, bekalan produk makanan ternakan FGV di bawah jenama Alma juga memenuhi permintaan tempatan untuk makanan lembu, kambing, biri-biri dan ayam kerana industri ini juga merupakan industri penting seperti yang dimaklumkan oleh kerajaan," jelas beliau. - DagangNews.com