FGV perintis inovasi penanaman padi wangi | DagangNews Skip to main content

FGV perintis inovasi penanaman padi wangi

Drone DJI T20 Agras digunakan untuk pemetaan kawasan pertanian dan memantau kesihatan tanaman yang membolehkan rawatan untuk kawasan yang terjejas. - Gambar FGV

 

 

KUALA LUMPUR 14 Julai - FGV Holdings Bhd. menerusi anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), menginovasi industri padi dan beras tempatan dengan pengenalan program Beras Wangi Fortified Field™ (3FR) untuk penanaman padi wangi yang berkesan.

 

Program 3FR adalah sistem penanaman komprehensif yang mengintegrasikan pertanian padi menerusi aktiviti amalan pertanian pintar, mekanisasi, automasi dan penggunaan teknologi Internet Kebendaan (IoT).

 

Inisiatif itu menggabungkan kepakaran FGV dalam penyelidikan, agronomi, nutrisi tanaman, teknologi dron dan pengawasan jarak jauh bagi meningkatkan hasil beras wangi.

 

Sehingga kini, program 3FR FGV telah berjaya meningkatkan hasil beras wangi tempatan kepada tujuh tan sehektar sekali gus menjadikan ia sistem tanaman pilihan pesawah.

 

Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah, purata hasil padi negara adalah sekitar empat tan sehektar, manakala jelapang hasil rendah menghasilkan bawah tiga tan sehektar.

 

Pegawai Bertanggungjawab dan Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad, berkata FGV akan terus menerajui penyelesaian perladangan pintar dan Pertanian 4.0 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan keupayaan perladangan padi beras wangi tempatan.

 

Beliau berkata, kaedah yang digunakan di dalam program 3FR itu menjadi penanda aras baharu dalam industri padi dan beras negara, apabila penggunaan dron dimanfaatkan dari peringkat sawah padi hingga ke aspek 'hyperspectral imaging' bagi kawalan penyakit dan makhluk perosak.

 

Katanya, bagi memastikan kualiti dan kebolehkesanan padi, FGV turut menyemai benih padi wangi premium MRQ76 keluaran sendiri dan diperakui untuk diedarkan kepada pesawah kontrak yang dilantik dan mengambil bahagian dalam program ini.

 

"Menerusi bimbingan dan sokongan berterusan, pesawah mampu meningkatkan hasil padi mereka dan menambah pendapatan sehingga RM13,300 sehektar jika dibandingkan dengan RM6,240 sehektar bagi kaedah penanaman padi putih tradisional.

 

"Melalui perkongsian unik dengan pesawah ini, kami berharap dapat mengukuhkan lagi rantaian bekalan beras secara lebih ekonomi dan lestari, seterusnya mewujudkan pesawah dan komuniti yang lebih berdaya tahan," katanya dalam satu kenyataan.

 

fgv
JENTERA penuai gabungan ringan 'combined harvester' digunakan untuk mencegah kerosakan pada tanah keras.

 

Program 3FR FGV merangkumi penggunaan aplikasi termaju pertanian seperti mesin automasi penanaman, kecerdasan buatan dalam pemantauan sawah dan sumber air, dron bagi penyemburan, mesin penuai padi dan kaedah pemugaran tanah dengan menggunakan mikrob dan teknologi bio.

 

Pada musim penanaman akan datang, FGV merancang mengembangkan lagi penggunaan aplikasi seperti traktor pintar, stesen cuaca dan sensor sawah bagi memantau prestasi sawah-sawah menerusi pertanian jitu.

 

Sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan masa hadapan, FGV menyasar untuk mengembangkan lagi penggunaan IoT dengan membangunkan rantaian blok teknologi dalam pengeluaran agri pertanian yang memudahkan capaian kepada data rantaian bekalan pesawah, di samping lain-lain rantaian pemegang taruh dan pengguna, yang mana ia akan meningkatkan lagi kebolehkesanan pengeluaran makanan.

 

Program 3FR FGV juga sebagai menyokong usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) pada Februari 2021.

 

Program itu sedang giat dilaksanakan di jelapang padi berkeluasan 310 hektar di IADA Seberang Perak, Perak dan IADA Barat Laut di Selangor yang disertai oleh 100 pesawah kontrak tempatan yang dilantik.

 

Keseluruhan kawasan itu dijangka akan dipertingkatkan ke 600 hektar pada musim menuai pada penghujung Julai 2021, dengan perancangan untuk memperluaskan kawasan tanaman ke 1,500 hektar dalam tempoh tiga tahun akan datang. - DagangNews.com