Ketua Pegawai Eksekutif FGV Prodata, Ali Mustafa (dua dari kiri) bersama Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid (empat dari kiri), wakil SKMM dan wakil syarikat telekomunikasi melawat salah satu menara yang dibina oleh FGV Prodata di Kampung Machang, Hulu Terengganu.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Mac - FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya, FGV Prodata Systems Sdn. Bhd. (FGV Prodata) membina 13 menara telekomunikasi di Terengganu untuk menyokong agenda ekonomi digital negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, infrastruktur telekomunikasi itu menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu dimiliki oleh penduduk negeri Terengganu.
“Ia bertujuan menambah kelajuan dan kestabilan capaian internet di pusat-pusat internet komuniti (PIK) untuk membantu usahawan kecil meningkatkan pendapatan dan memperluaskan pasaran produk-produk mereka.
“Pelaksanaan projek ini juga penting untuk membantu pelajar-pelajar yang mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” tambah katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
FGV Prodata dilantik sebagai penyedia infrastruktur menara telekomunikasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 1).
Pembinaan infrastruktur itu menggunakan dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Universal Service Provision) SKMM.
Setakat ini, FGV Prodata telah menyiapkan 10 menara telekomunikasi di daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.
Tiga lagi menara telekomunikasi di Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu akan siap hujung April dan mula beroperasi Mei ini. - DagangNews.com