FGV Prodata menang kontrak selenggara perkakasan ICT MINDEF | DagangNews Skip to main content

FGV Prodata menang kontrak selenggara perkakasan ICT MINDEF

FGV Prodata

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Anak syarikat FGV Holdings Berhad, FGV Prodata Systems Sdn. Bhd. (FGV Prodata), berjaya memperolehi kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef) bagi penyelenggaraan perkakasan selama tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Prodata, Ali Mustafa berkata, kejayaan tersebut membuktikan kepakaran anak tempatan sebagai penyedia perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

"FGV Prodata mampu menjadi salah satu pemain ICT utama di Malaysia susulan kejayaan mengendalikan pelbagai projek khidmat luaran (outsourcing) ICT atau perkhidmatan mengurus projek untuk agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta di Malaysia.

"Pencapaian ini selari dengan perjalanan transformasi Kumpulan FGV dalam memperluaskan bidang pertumbuhan baharu untuk menciptakan lebih banyak nilai. Ini sangat penting bagi kami, kerana ia membuktikan kredibiliti FGV Prodata dalam menyediakan komponen hujung ke hujung untuk membina sistem yang selamat dan padu bagi industri ICT," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ali Mustafa
Ali Mustafa

 

Kontrak selama tiga tahun bermula September 2020 itu merangkumi perkhidmatan bekalan alat ganti, penyelenggaraan pencegahan dan pembetulan sehingga 10,000 peralatan ICT di sembilan lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur serta perkhidmatan IT untuk pengurusan tertinggi MinDef.

FGV Prodata telah memberikan perkhidmatan kepada MinDef selama lebih 20 tahun dengan menyediakan peralatan ICT dan perkhidmatan penyelenggaraan melalui beberapa kontrak.

Sejak penubuhannya hampir 50 tahun yang lalu, FGV Prodata telah menjadi bahagian penting dalam membawa teknologi ke FGV untuk menyokong dan memacu kecemerlangan operasi.

Tambah beliau, FGV Prodata pada asasnya tanggungjawab meningkatkan penggunaan teknologi bagi sistem rantaian bekalan minyak sawit FGV.

"Dalam beberapa tahun ini, FGV Prodata telah menunjukkan pertumbuhan yang ketara dalam mempelbagaikan portfolio perniagaannya dengan memasuki bidang perniagaan baharu.

"FGV Prodata juga terus menawarkan teknologi trend terkini IR 4.0 bermula dengan perkhidmatan Analisis, Automasi, Pengkomputeran Awan, dan Internet Benda (Internet of Things)," jelasnya lagi. - DagangNews.com