Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Filem pendek Tahun Baru Cina Tenaga Nasional Berhad (TNB), ‘Nian-tastic New Start’ mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya ditonton lebih 6.08 juta kali selepas lebih seminggu dimuat naik di media sosial.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, filem pendek tersebut mendapat lebih 30,000 interaksi (engagement) di platform media social termasuk YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter bersama 600 komen dan 5,900 reaksi.
“Terima kasih kepada netizen di Malaysia dan di seluruh dunia atas sambutan luar biasa bagi filem Tahun Baru Cina kami.
"Kami berharap dan percaya mesej mengenai pentingnya ketabahan dan semangat positif ketika menghadapi masa yang sukar ini, diterima baik oleh semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak tayangan perdana di YouTube pada 2 Februari 2021, filem yang mengetengahkan hikmah dan cerita rakyat mengenai tradisi Tahun Baru Cina itu telah menerima lebih 5,200 jumlah perkongsian di media sosial.
Di sebalik gelagat pelakon yang mencuit hati dan pendekatan unik terhadap lagenda Cina itu, filem ‘Nian-tastic New Start’ meraikan semangat kegembiraan dan positif apabila penduduk kampung yang dihantui raksasa mitos Nian, mengembara bagi mendapatkan pertolongan mahaguru yang bijaksana bagi mengembalikan keamanan kepada kampung mereka.
Filem tersebut menggambarkan bagaimana amalan berpakaian merah sambil berkumpul bersama ahli keluarga di kediaman yang dihiasi dengan tanglung merah yang terang, kemeriahan bunga api dan gendang yang dimainkan dengan kuat akhirnya menjadi satu tradisi.
Secara tidak langsung, ia mengetengahkan mesej perpaduan dalam mengatasi kesukaran.
“Kepada pelanggan kami yang akan meraikan Tahun Baru Cina, saya ucapkan ’xīn nián kuài lè‘ atau Selamat Tahun Baru.
“Dalam meraikan Tahun Lembu, kami ingin menasihatkan para pelanggan untuk mengamalkan dan mengutamakan keselamatan elektrik," katanya lagi.
Filem ‘Nian-tastic New Start’ yang berdurasi 5 minit boleh ditonton di saluran YouTube TNB www.youtube.com/TENAGAofficial , manakala versi lebih pendek disiarkan di saluran TV perdana sejak semalam. - DagangNews.com