Filipina terima lima lagi pesawat Black Hawk, helikopter jenis sama disewa Malaysia masih belum tiba | DagangNews Skip to main content

Filipina terima lima lagi pesawat Black Hawk, helikopter jenis sama disewa Malaysia masih belum tiba

Dua helikopter jenis Sikorsky S-70i Black Hawk jenis sama yang dibeli Filipina.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 18 Jun - Dalam masa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdepan dengan isu lewat menerima 4 buah helikopter Sikorsky UH-60+ Black Hawk terpakai secara sewaan, situasi berbeza dengan negara jiran Filipina.

 

Tentera Udara Filipina (PAF) telah menerima penghantaran 5 buah helikopter baharu S-70i Black Hawk bagi mengukuhkan lagi keupayaan operasi udara negara itu.

 

Helikopter ini merupakan sebahagian daripada 32 buah kesemuanya yang dibeli Manila.

 

Penerimaan helikopter S-70i Black Hawk dilihat sebagai komitmen bersungguh-sungguh kerajaan negara itu melaksanakan pemodenan PAF, khususnya dalam menghadapi ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.

 

Helikopter
Filipina menerima 5 buah helikopter Black Hawk yang dihantar menggunakan pesawat pengangkut Antonov.

 

Helikopter

 

S-70i Black Hawk ialah varian tentera bagi helikopter utiliti ikonik ini yang dikeluarkan oleh anak syarikat Sikorsky, PZL Mielec berpangkalan di Poland. 

 

PZL Mielec mempunyai sejarah penerbangan yang besar di Poland selepas Perang Dunia Kedua dan bertanggungjawab untuk mengeluarkan lebih 15,600 pesawat sejak 1948.

 

Filipina telah meterai perjanjian bernilai AS$624 juta dengan Poland untuk perolehan 32 buah helikopter S70i Black Hawk dua tahun lalu.

 

Kontrak tersebut termasuklah latihan untuk juruterbang, kru penyelenggaraan dan sokongan logistik.

 

Penghantaran seterusnya ialah 10 buah lagi pesawat S-70i Black Hawk tahun ini, 10 buah pada 2025 dan baki 07 menjelang 2026.

 

Helikopter
Empat helikopter S-70i Black Hawk Filipina yang telah beroperasi.

 

PAF sebelum ini telah menerima 16 buah helikopter sama dari Poland secara berperingkat-peringkat pada November 2021.

 

Pembelian bernilai AS$241 juta yang dibuat pada 2019 juga merupakan kontrak terbesar yang diterima PZL Mielec.

 

Sejak tahun 2009, PZL Mielec telah membina 75 buah pesawat S-70i Black Hawk untuk 10 negara.

 

Dengan pembelian ini Filipina memiliki sebanyak 48 buah helikopter S-70i Black Hawk sekali gus menjadi pengguna pesawat Black Hawk varian ini yang terbesar di dunia.

 

Fungsi utama helikopter ini termasuk bagi operasi mencari dan menyelamat, sokongan udara jarak dekat, pemindahan perubatan, ulang bekalan, pengangkutan tentera serta barangan dan bantuan semasa bencana. 

 

Kenderaan
Pembelian 48 buah helikopter Sikorsky S-70i Black Hawk menjadikan Filipina sebagai pemilik terbesar pesawat buatan Poland ini.

 

Helikopter

 

Ketibaan helikopter canggih ini merupakan perkembangan positif bagi Filipina, mengukuhkan keupayaannya untuk menjaga wilayah dan kepentingan negaranya. 

 

Dengan penambahan helikopter Black Hawk ini dan inisiatif pemodenan yang berterusan, PAF bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam memastikan keselamatan negara.

 

PAF juga dijadual memperoleh penghantaran kedua 2 pesawat pengangkut taktikal Lockheed Martin C-130H terpakai dari Amerika Syarikat (AS).

 

Dua pesawat C-130H pertama telah diserahkan kepada PAF pada 2021. Perolehan ini juga meningkatkan keupayaannya operasi udara Filipina.

 

Helikopter
ATM sepatutnya telah menerima 4 buah helikopter Black Hawk terpakai yang disewa untuk Tentera Darat.

 

Mengenai perkembangan helikopter Sikorsky UH-60+ Black Hawk terpakai secara sewaan ATM, sehingga kini belum ada sebarang berita positif.

 

ATM khususnya Kementerian Pertahanan perlu memutuskan penyelesaian segera mengenainya.  - DagangNews.com