The Financial Times dakwa syarikat China minta bantuan Putrajaya untuk elak tarif AS | DagangNews Skip to main content

The Financial Times dakwa syarikat China minta bantuan Putrajaya untuk elak tarif AS

KUALA LUMPUR 25 Jun - Syarikat China, termasuk pengeluar bateri litium berpangkalan di China, Eve Energy dikatakan sedang berbincang dengan kerajaan Malaysia berhubung potensi memintas tarif AS dengan memindahkan operasi pembuatan mereka ke Malaysia, menurut laporan Financial Times (FT).

 

Laporan FT mendakwa firma China tersebut, yang mengkhusus dalam teknologi bateri, peranti perubatan dan semikonduktor, telah menghubungi pegawai kerajaan untuk memujuk Washington supaya melepaskan tarif kerana produk itu akan dipasang di Malaysia.

 

Sumber yang dipetik oleh FT mendakwa Eve Energy, yang kini mengeksport kira-kira 20% produknya ke AS, baru-baru ini menghubungi menteri Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Syarikat itu mendapatkan jaminan mengenai pengelakan tarif dengan menjangkakan rancangan pengembangannya di Malaysia.

 

“Mereka (syarikat China) mahukan jaminan tetapi mustahil untuk kami menyediakannya. Kita boleh...dan melakukan lobi tetapi tidak ada cara [untuk mengetahui] apa yang AS akan lakukan pada masa hadapan. Kami masih cuba menyelesaikannya sendiri,” seorang pegawai kerajaan Malaysia dipetik sebagai berkata.

 

 

irsyad

 

 

Sebaliknya, laporan itu menulis Exco Johor Lee Ting Han telah menerima permintaan yang sama daripada ketua syarikat peranti perubatan China.

 

Syarikat itu juga mendapatkan nasihat sama ada ia akan mengenakan tarif selepas memindahkan operasi pembuatannya dari China ke Malaysia, Lee memberitahu FT.

 

“Saya beritahu mereka jawapannya tidak buat masa ini. Walau bagaimanapun, AS tiba-tiba boleh mengubah dasarnya. Kami tidak mempunyai kawalan ke atasnya.”

 

Bulan lalu, Presiden AS Joe Biden mengumumkan rancangan untuk menaikkan tarif ke atas pelbagai jenis import China, termasuk semikonduktor, bateri, sel solar dan mineral kritikal.

 

Biden berkata bahawa kadar tarif import semikonduktor dari China akan meningkat daripada 25% kepada 50% menjelang 2025.

 

Menurut laporan MIDA pada Februari, Malaysia mempunyai 13% daripada pasaran global untuk perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian cip.

 

Negara ini merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, dan industri itu menyumbang kepada kira-kira 25% daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia. - DagangNews.com