Firefly, SNT jalin kerjasama tingkatkan capaian pelanggan menerusi platform e-dompet SPayGlobal | DagangNews Skip to main content

Firefly, SNT jalin kerjasama tingkatkan capaian pelanggan menerusi platform e-dompet SPayGlobal

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Firefly, anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG) menjalin kerjasama dengan SiliconNet Technologies Sdn Bhd (SNT) untuk meningkatkan capaian pelanggannya di pasaran Malaysia Timur dengan memanfaatkan SPayGlobal, platform digital e-dompet termaju rantau ini.

 

Firefly dalam kenyataan berkata, SPayGlobal, sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay dan dimiliki oleh Kerajaan Negeri Sarawak, menawarkan perkhidmatan yang lancar dan terjamin.

 

Katanya, perkhidmatan aplikasi e-dompet tersebut membolehkan pengguna melakukan pelbagai transaksi termasuk mengimbas dan membayar menggunakan QR kod, menikmati diskaun istimewa dalam ganjaran kesetiaan, memperbaharui insurans, membayar pinjaman, menyelesaikan yuran tempat letak kereta, membayar bil dan banyak lagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan SPayGlobal untuk mencerminkan dedikasi meningkatkan nilai dan kemudahan yang mereka tawarkan kepada pengguna melalui digital dan kaedah pembayaran tanpa tunai.

 

Katanya, kerjasama itu akan diperluaskan kepada anak syarikat lain dalam keluarga MAG, termasuk MASwings dan Journify, platform rumusan perjalanan yang membolehkan pengguna menempah pengalaman perjalanan hujung ke hujung termasuk aktiviti dan tarikan, pakej pelancongan, perkhidmatan lapangan terbang dan banyak lagi. 

 

"Dengan bergabung tenaga dengan syarikat kami, kami berhasrat untuk menyediakan pelanggan dengan rangkaian pilihan yang komprehensif, peningkatan fleksibiliti dan kemudahan yang dipertingkatkan semasa merancang dan menempah perjalanan mereka. 

 

"Inisiatif ini sejajar dengan komitmen kami untuk menawarkan rumusan perjalanan hujung ke hujung dan memenuhi pelbagai keperluan penumpang, termasuk mereka yang melakukan perjalanan ke dan dari Sabah dan Sarawak melalui MASwings dan Firefly," katanya.

 

 

firefly

 

 

Sementara itu, Pengurus Besar SNT, Chin Zan Kiun pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Firefly sempena perluasan perkhidmatan perjalanan udara mereka ke Sarawak dan Sabah. 

 

Katanya, ia merupakan petanda baik untuk e-dompet SPayGlobal untuk pengguna memperluaskan penawaran perkhidmatan gaya hidup digital dan tanpa tunai merentasi semua sektor ekonomi, dan yang terkini menjadi perjalanan dan pengangkutan. 

 

"Sebagai pemangkin untuk mempercepatkan transformasi digital, kami akan terus menambah nilai kemudahan untuk memberi manfaat kepada pengguna kami. Kami menantikan kerjasama yang lebih mendalam dengan kumpulan MAG pada masa terdekat," katanya.

 

Sempena kerjasama itu, Firefly menawarkan diskaun sehingga 15% melalui promosi kod tempahan yang dibuat antara 29 Mei 2023 hingga 11 Jun 2023 ke destinasi terpilih dengan penerbangan ke/dari Kuching dan Kota Kinabalu, termasuk Pulau Pinang, Miri, Tawau dan Sandakan untuk perjalanan bermula 8 Jun 2023 hingga 31 Disember 2023. - DagangNews.com