KUALA LUMPUR 9 Okt - Firefly menambah laluan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Bangkok yang akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (DMK) bermula 3 November 2023.
Dalam satu kenyataan media hari ini, anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG) itu berkata jualan tiket kini dibuka dan penumpang dapat menikmati harga pengenalan istimewa serendah RM159 sehala melalui tambang Saver.
Syarikat penerbangan itu berkata harga itu adalah termasuk daftar masuk bagasi 10kg, bagasi kabin 7kg dan minuman percuma.
Promosi tersebut boleh dibeli mulai sekarang hingga 22 Oktober 2023, untuk perjalanan bermula 3 November 2023 hingga 30 Mac 2024.
Selain itu, penumpang juga boleh menaik taraf kepada tambang Flex bermula dari RM249 untuk menikmati daftar masuk bagasi 30kg, hidangan panas, pertukaran penerbangan tanpa had dan lain-lain.
Penerbangan lima kali seminggu itu akan dikendalikan oleh pesawat Boeing 737-800 yang dilengkapi 189 tempat duduk Kelas Ekonomi dan mempunyai tempat duduk dan ruang kaki ergonomik, pemegang peranti peribadi dan soket kuasa USB jenis A dan C untuk mengecas peranti.
Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Bangkok ini merupakan titik kedua Firefly ke Thailand berikutan pelancaran penerbangan terus ke Phuket tahun lepas.
“Ini akan mempertingkatkan keterhubungan dan kemudahan untuk perjalanan antara dua destinasi tarikan pelancong ini.
"Dengan tambahan laluan tersebut, kami mengukuhkan kedudukan Firefly di rantau ini, yang menunjukkan komitmen kami untuk mengembangkan operasi jet kami di seluruh ASEAN bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi pelancong percutian dan perniagaan,” katanya. - DagangNews.com