Firma pelaburan New York tangguh beli kepentingan dalam MMC Port milik Tan Sri Syed Mokhtar | DagangNews Skip to main content

Firma pelaburan New York tangguh beli kepentingan dalam MMC Port milik Tan Sri Syed Mokhtar

MMC Port Holdings mengendalikan tujuh pelabuhan di Malaysia, termasuk di Johor dan Pulau Pinang. Gambar MMC

KUALA LUMPUR 15 April - Global Infrastructure Partners (GIP) telah menangguhkan rancangan untuk membeli sehingga 49% kepentingan dalam MMC Port Holdings Sdn Bhd.

 

MMC Port merupakan unit perniagaan konglomerat pelabuhan MMC Corp Bhd, yang dikawal oleh tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

 

Memetik laporan Bloomberg, GIP menangguhkan pembelian saham MMC Port yang juga pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia daripada taikun tempatan tersebut atas kebimbangan penilaian.

 

"Selepas melengkapkan usaha wajar ke atas MMC Port Holdings Sdn Bhd, firma pelaburan yang berpangkalan di New York itu tidak dapat mencapai persetujuan mengenai harga pegangan itu," menurut pihak yang enggan dikenali kerana maklumat itu adalah peribadi.

 

MMC Port, unit perniagaan pelabuhan konglomerat MMC Corp Bhd, yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar memohon penilaian RM15 bilion (AS$3.2 bilion) hingga RM20 bilion (AS$4.27 bilion) untuk syarikat itu, yang akan menjadikannya perjanjian pelabuhan terbesar Malaysia, kata pihak berknaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Urus niaga penggabungan dan pengambilalihan syarikat di Malaysia dijangka lebih banyak tahun ini

 

Wakil untuk GIP dan MMC Port tidak menjawab permintaan untuk komen, kata laporan tersebut.

 

The Edge Malaysia sebelum ini melaporkan sumber tidak dikenal pasti mengatakan bahawa GIP telah mempertimbangkan untuk membeli pegangan dalam MMC Port.

 

Walaupun GIP telah menangguhkan rancangannya namun mungkin akan ada pembida lain untuk kepentingan tersebut, kata laporan Bloomberg itu.

 

Menurut laman webnya, GIP ditubuhkan pada 2006 dan kini menguruskan aset bernilai AS$112 bilion daripada sektor tenaga dan pengangkutan, kepada air dan sisa.

 

BlackRock Inc bersetuju pada Januari untuk membeli GIP pada harga kira-kira AS$12.5 bilion dalam perjanjian yang dijangka dimeterai pada suku ketiga.

 

MMC Port Holdings mengendalikan tujuh pelabuhan di Malaysia, termasuk di Johor dan Pulau Pinang, menurut laman web syarikat itu. Ia juga mempunyai terminal kapal persiaran. - DagangNews.com