Firma penarafan antarabangsa Fitch ramal Najib, KJ jadi calon PM | DagangNews Skip to main content

Firma penarafan antarabangsa Fitch ramal Najib, KJ jadi calon PM

FITCH SOLUTIONS menggariskan tiga senario yang mungkin berlaku selepas pengunduran Muhyiddin Yassin termasuk pelantikan Najib Razak dan Khairy Jamaluddin sebagai Perdana Menteri.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Firma penarafan antarabangsa, Fitch Solutions mendedahkan terdapat tiga senario yang mungkin berlaku selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, salah satunya adalah Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, atau Khairy Jamaluddin bakal dilantik sebagai perdana menteri seterusnya. 

 

Dalam masa sama, firma itu tidak menolak kemungkinan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan kembali mengisi kekosongan jawatan tersebut, berdasarkan pengalaman beliau dalam mentadbir Malaysia pada tahun 2009 hingga 2018.

 

“Tetapi, (beliau) perlu mempunyai keyakinan dalam membatalkan skandal 1MDB atau diampuni sebelum beliau dapat mengambil alih kedudukan itu,” jelas Fitch dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan MalayMail.

 

Ketidakstabilan politik dan rampasan kuasa dalam kalangan pemimpin parti dijangka berterusan sehinggalah Malaysia berjaya menemui pengganti untuk menyandang jawatan Perdana Menteri, tambah Fitch.

 

Sepanjang tempoh tersebut, situasi itu akan terus melemahkan keyakinan para pelabur, terbukti dengan permulaan dagangan di Bursa Malaysia yang lemah pada Isnin (semalam) sementara menunggu perkembangan status peletakan jawatan Muhyiddin. 

 

Dalam pada itu, senario ketiga yang mungkin berlaku adalah Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengambil alih tampuk kepimpinan negara sebagai kerajaan, di mana merupakan cabaran besar untuk memenangi majoriti penuh di Parlimen.

 

Sementara, senario ketiga yang ditekankan oleh Fitch adalah sebuah kerajaan perpaduan dibentuk antara Perikatan Nasional (PN) dan PH, namun firma itu memberi amaran bahawa pertelagahan antara kedua-duanya mendatangkan risiko kepada pemerintahan yang tidak berfungsi.

 

“Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkemungkinan mempertimbangkan ini hanya sebagai keputusan terakhir, walaupun kami melihat pembentukan kerajaan perpaduan ini semakin ketara sekiranya jalan buntu berlarutan dalam perebutan kuasa setelah pengunduran Muhyiddin,” jelas Fitch lanjut.

 

Semalam,  Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga penggantinya dilantik. 

 

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong memaklumkan baginda telah menerima surat perletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuatkuasa semalam. - DagangNews.com