Firma ramal Gas Malaysia catat perolehan lebih rendah pada FY21 | DagangNews Skip to main content

Firma ramal Gas Malaysia catat perolehan lebih rendah pada FY21

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Syarikat perkhidmatan penghantaran dan pengedaran gas, Gas Malaysia Berhad diramal mencatatkan perolehan yang lebih rendah pada tahun kewangan 2021 (FY21) berbanding tahun kewangan sebelumnya. 

 

Ini berikutan purata harga jualan (ASP) gas dijangka lebih rendah yang seterusnya akan memberi impak kepada keuntungan unit penghantaran kumpulan, ramal penganalisis di CGS-CIMB Research, Ngo Siew Teng.

 

Namun, Siew Teng tidak menolak kemungkinan perolehan Gas Malaysia mampu meningkat sekiranya ASP gas melonjak pada masa hadapan.

 

“Gas Malaysia menjangkakan jumlah gas FY21 akan meningkat sejajar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, di mana dalam julat 6% hingga 7.5% berdasarkan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

“Kami menurunkan unjuran hasil bagi FY21 hingga FY23 sebanyak 4% hingga 7% setelah mengambil kira ASP gas yang lebih rendah dan jumlah gas lebih tinggi; tetapi meningkatkan ramalan perolehan sesaham (EPS) bagi FY21 hingga FY23 sebanyak 1% hingga 4% susulan kos lebih rendah,” jelas beliau dalam satu nota kajiannya hari ini.

 

Semalam, Gas Malaysia mengumumkan keuntungan bersih suku pertama FY21 (1Q21) meningkat 16% tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM55.6 juta. 

 

Namun, tiada dividen yang diisytiharkan bagi suku tahun semasa. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham Gas Malaysia dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM2.97 daripada RM2.85.

 

Dalam pada itu, Kenanga Research membuat penarafan ‘outperform’ ke atas saham Gas Malaysia dengan TP dikekalkan pada kadar RM2.91 sesaham. 

 

Penganalisisnya, Teh Kian Yeong kekal positif terhadap prospek perolehan jangka panjang kumpulan memandangkan tebaran margin gas Malaysia melebihi RM2.00 setiap satu juta unit metrik british thermal (MMBTU).

 

Ini seterusnya akan mendorong perolehan kumpulan untuk terus berkembang ekoran jumlah gas berkembang, jelas Kian Yeong. 

 

“Risiko kepada penarafan kami adalah pertumbuhan jumlah yang lebih rendah daripada jangkaan dalam tempoh masa terdekat ini,” katanya lanjut. 

 

Setakat 11.34 pagi, harga saham Gas Malaysia meningkat 1 sen kepada RM2.72. - DagangNews.com