Firma Singapura ST Engineering bina kapal perang paling canggih di Asia Tenggara ketika Malaysia tak selesai lagi isu LCS | DagangNews Skip to main content

Firma Singapura ST Engineering bina kapal perang paling canggih di Asia Tenggara ketika Malaysia tak selesai lagi isu LCS

Gambaran grafik kapal MRCV yang bakal dimiliki Singapura.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 1 April - Industri maritim negara jiran Singapura setapak ke hadapan apabila memulakan pembinaan kapal tempur pelbagai peranan (MRCV) sebagai generasi baharu aset lautnya.

 

Upacara pemotongan keluli kapal pertama telah dilakukan bulan lalu di limbungan perkapalan ST Engineering Marine Singapura (ST Enginering) iaitu setahun selepas program MRCV dimuktamadkan.

 

ST Enginering dilantik untuk membina enam buah kapal berkenaan bagi tentera laut republik itu, bagaimana pun kos keseluruhan pembinaan tidak diumumkan.

 

Kapal pertama MRCV dijangka menyertai armada kapal tentera laut Singapura mulai tahun 2028.

 

Kapal
Panglima Tentera Laut Singapura, Laksamana Sean Wat (kanan) semasa melancarkan upacara memotong keluli kapal pertama MRCV.

 

Kapal

 

Ini merupakan tradisi dalam fasa pembinaan kapal yang mana keluli pertama dipotong untuk meraikan kejayaan yang dilakukan dalam reka bentuk kapal.

 

Keputusan Singapura melaksanakan program MRCV mempamerkan kesinambungan republik itu dalam melaksanakan pemodenan aset-aset.

 

Ini kerana ia dilakukan tiga tahun selepas ST Engineering berjaya menyiapkan lapan buah kapal misi pesisir (LMV) kelas Independence.

 

MRCV dibina untuk menggantikan enam kapal korvet kelas Victory yang telah ditamatkan perkhidmatan.

 

MRCV baharu ini akan berfungsi sebagai kapal induk yang mampu mengawal aset tanpa pemandu merentasi domain udara, permukaan dan bawah air.

 

Kapal
Frigate kelas Absalon milik Denmark yang menjadi asas pada rekaan MRCV Singapura.

 

Kementerian Pertahanan Singapura pada Mac tahun lalu mengumumkan bahawa ia menganugerahkan ST Engineering kontrak untuk mereka bentuk dan membina enam MRCV. 

 

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) mendedahkan ia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Saab untuk membangunkan dan mereka bentuk MRCV bersama.

 

Konsep kapal baharu itu akan dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) dan analisis data untuk membolehkan MRCV menjadi kapal yang sangat digital.

 

Sejak itu, RSN telah mendedahkan bahawa firma Thales dan Leonardo telah dilantik sebagai pembekal sistem tempur MRCV, walaupun tiada butiran khusus mengenainya tersedia. 

 

Kapal
Korvet kelas Victory.

 

Saab dan pembuat kapal Denmark, Odense Maritime Technology (OMT) juga telah dilantik sebagai pemaju bersama untuk reka bentuk asas MRCV.

 

Pihak DSTA, Saab dan ST Engineering pernah bekerjasama sama sebelum ini semasa membangunkan program LMV Independence yang disiapkan sepanjang 2017-20.

 

Kesemua enam buah kapal MRCV ini akan dibina di Singapura.

 

MRCV merupakan konsep kapal perang bersaiz frigat dengan ciri-ciri digital yang disifatkan sebagai kapal tempur masa hadapan.

 

Menerusi aplikasi digital, ia mengurangkan kira-kira 10 peratus pengguna tenaga manusia berbanding sebuah frigat biasa.

 

Kapal
Pembinaan MRCV melonjakkan kemahiran industri pertahanan maritim Singapura di rantau Asia Tenggara.

 

Kapal
MRCV akan menjadi kapal perang termoden di rantau ini.

 

MRCV yang dianggarkan berada dalam lingkungan saiz 6,000 hingga 10,000 tan ini bakal menjadi frigat terbesar dan termoden di rantau Asia Tenggara.

 

Ini kerana berbanding negara jirannya, pemilikan kapal perang secanggih ini masih di luar daripada kemampuan.

 

Indonesia sebagai contoh walaupun giat melaksanakan projek pembinaan kapal perang dan kapal peronda baharu tetapi kebanyakannya adalah kapal perang konvensional.

 

Kemajuan industri maritim Singapura juga tidak boleh dibandingkan dengan Malaysia yang masih terkial-kial untuk menyiapkan projek kapal tempur pesisir (LCS).

 

LCS kelas Maharaja Lela apabila disiapkan nanti walaupun masih merupakan kapal perang moden tetapi tidak setanding dengan aset baharu negara jiran ini. - DagangNews.com