KUALA LUMPUR 21 Jan - Fitch Ratings mengesahkan penarafan 'A' terhadap Malaysian Reinsurance Bhd. (Malaysian Re) Insurer Financial Strength (IFS) dengan prospek stabil.
Pengesahan penarafan itu mencerminkan penampan modal yang 'sangat kukuh' bagi Malaysian Re dan prestasi kewangan yang mampan.
Ia juga mengambil kira profil syarikatnya yang 'sederhana' dan cabaran dalam menguruskan potensi turun naik dalam prestasi taja jamin, terutama daripada perniagaan luar negaranya.
Menurut Fitch, syarikat itu merancang untuk untuk meningkatkan perniagaan luar negaranya secara beransur-ansur di samping mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan domestik untuk pertumbuhan.
Katanya, Malaysia menyumbang kira-kira 58% daripada jumlah premium bertulis bersih penanggung insurans semula pada tahun kewangan 2021 (FY21) dan kekal sebagai pasaran utamanya.
"Sebahagian lagi pendapatan premiumnya adalah daripada pelbagai pasaran di Asia, Eropah dan Asia Barat," katanya dalam kenyataan yang dilampirkan dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Agensi penarafan global itu berkata, strategi pelaburan secara amnya adalah konservatif dan cair, dengan lebih daripada 80% dalam bentuk tunai, deposit dan instrumen pendapatan tetap.
"Fitch menganggarkan nisbah 'aset berisiko' dan nisbah pelaburan berdaulat kepada modal berada di bawah 50% pada FY21 dan separuh pertama FY22," jelasnya.
Malaysian Re mempunyai lebih daripada 50% penguasaaan pasaran di Malaysia menerusi premium yang diterima insurans semula pada FY21.
"Dalam hal ini, pasaran francais dijangka mampan, didorong oleh penjenamaan yang kukuh dan sokongan berterusan daripada cedant tempatan sebagai sebahagian daripada pengaturan penyerahan terkawal yang diperbaharui selama 3 tahun lagi sehingga 31 Disember 2024," katanya. - DagangNews.com