Fitch Solutions mungkin naikkan indeks risiko politik Malaysia sebaik sahaja kerajaan baharu dibentuk | DagangNews Skip to main content

Fitch Solutions mungkin naikkan indeks risiko politik Malaysia sebaik sahaja kerajaan baharu dibentuk

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 22 Nov - Fitch Solutions Country Risk and Industry Research berkemungkinan akan meningkatkan skor indeks risiko politik jangka pendek Malaysia dalam beberapa hari akan datang sebaik sahaja kerajaan baharu dibentuk, dan apabila terdapat kejelasan yang lebih nyata berhubung hala tuju dasar .

 

Firma itu bagaimanapun berkata jika kerajaan baharu yang stabil tidak dibentuk dalam beberapa minggu akan datang, ia boleh membawa kepada ketidaktentuan yang lebih besar.

 

"Ia juga akan memberi tekanan kepada unjuran kami mengenai pertumbuhan negara ini sebanyak 5.8% pada Q422 dan 4.0% pada 2023 kerana pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat," katanya dalam nota penyelidikan terbaharu.

 

Fitch Solutions berkata dengan tiada gabungan yang mempunyai majoriti langsung, kedua-dua PN dan PH kini sedang berunding dengan rakan kongsi berpotensi mereka dalam usaha membentuk kerajaan seterusnya.

 

PH dan PN telah menolak untuk bersatu membentuk kerajaan, meninggalkan BN dan GPS sebagai `kingmaker'.

 

“Kami mengulangi jangkaan kestabilan politik kembali di Malaysia, sebaik kerajaan baharu dibentuk, diperkukuh dengan rang undang-undang 'anti-lompat parti', yang diluluskan pada Julai dan berkuat kuasa 5 Oktober.

 

“Undang-undang tersebut boleh menghalang satu lagi kejatuhan kerajaan baharu akibat pembelotan parti.

 

"Secara teorinya, itu juga harus membawa kepada penambahbaikan dalam proses penggubalan dasar, mengurangkan keperluan bagi kerajaan yang akan datang untuk mendapatkan sokongan daripada parti yang lebih kecil bagi mengelakkan pembelotan," katanya. - DagangNews.com