KUALA LUMPUR 26 April - Subsidiari 65% tidak langsung Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N), Dagang Sejahtera Sdn Bhd (DSSB) sedang membeli kesemua saham dalam Ladang Permai Damai Sdn Bhd pada harga RM215.59 juta tunai.
F&N dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata berikutan cadangan pengambilalihan itu, DSSB telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan Dupont and Leosk Enterprises Sdn Bhd dan Malaysia Nominees (Tempatan) Sdn Bhd.
Katanya, Dupont and Leosk adalah pemilik benefisial 25 juta saham atau saham jualan, masing-masing bernilai RM1 di Ladang Permai Damai manakala Malaysia Nominees adalah pemilik berdaftar saham jualan dan syarikat penama OCBC Bank (Malaysia) Bhd.
F&N berkata Ladang Permai Damai pada dasarnya terlibat dalam penanaman kelapa sawit, pemprosesan tandan buah segar. pemasaran minyak sawit mentah, isirong sawit dan tandan buah segar.
Katanya, pemerolehan Ladang Permai Damai oleh DSSB bertujuan membolehkan kumpulan F&N memulakan perniagaan susu segar huluan bagi pengeluaran hiliran dan pengedaran susu segar.
"Selepas selesai cadangan pengambilalihan, Ladang Permai Damai akan memajakkan Estet Permai Damai kepada kumpulan F&N pada kadar pasaran yang saksama untuk menjalankan operasi ladang tenusu bersepadu dan ladang tanaman,'' katanya, menurut laporan Bernama.
Estet Permai Damai akan membolehkan kumpulan F&N memiliki perniagaan serta operasi integrasi menegak berdasarkan tanaman tempatan yang ditanam untuk makanan ke ladang tenusunya, yang seterusnya akan menurunkan kos rantaian nilai per liter, membolehkan ia mengurangkan kebergantungan kepada susu import selain menggalakkan industri pertanian tempatan.
Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada memenuhi syarat-syarat terdahulu, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2022. - DagangNews.com