F&N berjaya dapat hak pengeluar susu steril Bear Brand di Kemboja | DagangNews Skip to main content

F&N berjaya dapat hak pengeluar susu steril Bear Brand di Kemboja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) mengukuhkan kedudukannya di pasaran Indochina dengan memperoleh hak yang dikembangkan daripada Societe Des Produits Nestle S.A. dan Nestec S.A. (Nestle) sebagai pengeluar serta pengedar eksklusif susu disteril Bear Brand di Kemboja.

 

Nestle ketika ini menggunakan F&N untuk mengeluarkan susu disteril Bear Brand bagi edaran di Kemboja.

 

Menerusi perjanjian baharu itu, F&N kini akan mengeluar, selain mengedar dan memasarkan produk susu disteril Bear Brand secara terus kepada pengguna akhir di Kemboja, berkuat kuasa 1 Mac 2023 hingga 2037.

 

Kontrak yang dikembangkan itu adalah sebahagian daripada perjanjian pelesenan yang diberikan oleh Nestle pada 2007 dan kemudiannya diperbaharui pada 2015.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F&N, Lim Yew Hoe berkata, perjanjian itu menunjukkan keyakinan Nestle terhadap syarikat itu dan perkongsian strategik yang membolehkan kedua-dua syarikat menjana nilai sinergi dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing di rantau ini.

 

"Bersama-sama dengan kilang susu dan minuman berasaskan tumbuhan kami yang baru siap di Wang Muang, F&N berhasrat untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam segmen susu cair.

 

fnn
Lim Yew Hoe (kanan) dan Suchit Riewcharoon (kiri) memeterai perjanjian bersama Victor Seah dalam satu majlis yang diadakan di Bangkok.

 

“Sebagai peneraju pasaran dalam kategori susu tin, kami sudah mempunyai portfolio jenama susu tin yang luas di rantau ini," katanya.

 

F&N kini mengeluar dan mengedarkan susu steril dan susu Bear Brand Gold untuk Thailand dan Laos.

 

Selain itu, syarikat itu juga mengeluar, mempromosi dan mengedar jenama Carnation di Thailand, Laos dan Kemboja, serta menjual susu tin Carnation, susu sejat Ideal, dan susu pekat manis Milkmaid dan krimer minuman manis di Malaysia, Brunei dan Singapura sehingga 2037.

 

Pengerusi dan CEO Nestle Indochina, Victor Seah berkata, perkongsian itu telah membuahkan hasil kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua pengguna di Indochina dan dua syarikat Nestle.

 

"Saya yakin bahawa pelantikan F&N untuk mengeluar, mengedar dan memasarkan produk susu steril Bear Brand di Kemboja boleh mewujudkan sinergi dan skala yang lebih besar, akhirnya memberi manfaat kepada pengguna akhir," katanya.

 

Pengarah Urusan F&N Dairies (Thailand) Ltd, Suchit Riewcharoon berkata, susu steril itu akan terus dihasilkan di kilang Rojana, kilang susu cair dalam tin terbesar di Thailand dan rantau ASEAN.

 

Ia juga disepadukan dengan rangkaian rantaian bekalan Asia Tenggara yang meluas melalui pusat pengedaran Rojana di Thailand untuk melayani pelanggan dan pertumbuhan masa depan di rantau Indochina.

 

"Kami kini boleh menyediakan pengguna kami di Thailand, Kemboja dan Laos dengan perkhidmatan hujung ke hujung, mengukuhkan strategi serantau kami untuk produk Bear Brand," katanya. - DagangNews.com