F&N terus kukuhkan jenama, tambah rangkaian produk penuhi permintaan pasaran Malaysia dan Thailand | DagangNews Skip to main content

F&N terus kukuhkan jenama, tambah rangkaian produk penuhi permintaan pasaran Malaysia dan Thailand

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) terus mengukuhkan jenama-jenamanya sedia ada dan mencipta lebih banyak produk untuk memenuhi permintaan pasaran di Malaysia, Thailand dan luar negara. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe berkata, walaupun harga komoditi tidak menentu dan tekanan inflasi terhadap permintaan pengguna masih berterusan tanpa mengira persekitaran pasaran, pihaknya tetap meneruskan strategi jangka panjang yang tertumpu pada penyampaian kecekapan kos dan mengenal pasti peluang pasaran baharu.

 

"Walaupun tahun kewangan akan datang berkemungkinan kekal tidak menentu disebabkan isu geopolitik yang berterusan, kami yakin dapat menempuh ketidaktentuan pada masa depan," katanya dalam kenyataan media di sini, selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-62 F&NHB pada 17 Januari 2024. 

 

Lim berkata, makanan dan minuman (F&B) Malaysia dan F&B Thailand kedua-duanya memberi sumbangan yang penting bagi mencapai untung operasi yang lebih kukuh. 

 

"Walaupun kos input lebih tinggi dan perbelanjaan tenaga meningkat, kumpulan mencatatkan untung sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak 37.6%, didorong tumpuan bersepadu kepada peningkatan margin, kecemerlangan operasi, pengurusan rantaian bekalan dan inisiatif kelestarian. Ia disokong hasil lebih tinggi yang meningkat sebanyak 11.9% kepada RM5 bilion," katanya.

 

Lim berkata, pihaknya yakin dengan prospek F&B Malaysia, terutama dalam strategi mengembangkan makanan bungkusan halal dan tenusu sebagai segmen pertumbuhan seterusnya dalam jangka sederhana.

 

Beliau berkata, makanan bungkusan halal kekal menjadi segmen teras perniagaan dan sejajar dengan komitmen untuk memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai. 

 

 

fn
Lim Yew Hoe

 

 

Katanya, rancangan sedang diatur untuk mengintegrasikan dua perniagaan terbaharu kumpulan, Cocoaland dan Sri Nona, dengan F&N untuk strategi operasi dan komersial yang lebih baik. 

 

"Kekuatan Cocoaland sebagai pembuat konfeksi melengkapkan rangkaian produk makanan halal Sri Nona. Seterusnya, jenama daripada kedua-dua perniagaan boleh memanfaatkan laluan ke pasaran kumpulan yang mantap di peringkat tempatan dan antarabangsa. 

 

"Kilang Cocoaland di Rawang akan menjadi hab pengeluaran makanan selaras dengan rancangan kami untuk menyatukan proses pengeluaran seluruh perniagaan makanan. Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kapasiti dan mengurangkan kerumitan," katanya.

 

Tambahnya, kumpulan akan memanfaatkan peningkatan jumlah pelancong antarabangsa dan penggunaan luar rumah selepas pandemik. 

 

 

fn

 

 

"Ketika kami terus memenuhi keperluan pelanggan dan pengguna, kami juga mahu meningkatkan usaha penembusan untuk melibatkan lebih banyak peruncit luar bandar dengan memanfaatkan inisiatif dompet digital yang dicadangkan oleh kerajaan baharu Thailand pada Mei nanti, yang mana semua warga Thailand berumur 16 tahun ke atas akan menerima 10,000 baht," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi F&NHB, Tengku Syed Badarudin Jamalullail mengulas legasi F&N selama 140 tahun berkata, pihaknya juga teruja untuk menghadapi tahun-tahun akan datang, mengharungi era pertumbuhan dan juga transformasi. 

 

"Sambil kami meningkatkan usaha untuk membina segmen makanan berbungkus halal dan tenusu, kami akan terus memberi tumpuan kepada teras perniagaan kami untuk menyampaikan 'Nikmat Sebenar, Kebaikan Sejati' kepada pemegang berkepentingan kami," katanya. - DagangNews.com