Fomca minta pihak berkuasa jelaskan kadar faedah 36% GOpinjam | DagangNews Skip to main content

Fomca minta pihak berkuasa jelaskan kadar faedah 36% GOpinjam

KUALA LUMPUR 11 April – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta pihak berkuasa menjelaskan mengenai skim GOpinjam yang mengenakan kadar faedah sehingga 36% untuk pinjaman peribadi.

 

Setiausaha Agung Fomca, Dr Paul Selva Raj berkata, kadar faedah untuk pinjaman peribadi di bank perdagangan biasanya antara empat dan tujuh peratus setahun.

 

Kad kredit pula kata beliau, hanya boleh mengenakan caj 15 hingga 18% setahun untuk kredit yang diberikan.

 

Bagaimanapun, pengendali e-pembayaran dan bank di belakang skim GOpinjam dibenarkan mengenakan caj dua kali ganda.

 

‘’Apa yang mengejutkan ialah ia mendakwa bahawa ia mematuhi garis panduan pinjaman Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab.

 

‘’Bolehkah pengawal selia menjelaskan jika mengenakan kadar faedah 36% ke atas pinjaman yang disasarkan kepada mereka yang kurang mendapat perkhidmatan mematuhi "amalan pinjaman yang bertanggungjawab?" soal beliau.

 

Pada masa ini kata Dr Paul, apabila pengguna menderita akibat kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan dan peningkatan kos sara hidup yang ketara, semua pihak harus mengambil langkah untuk membantu pengguna mendapatkan akses kepada kredit faedah rendah.

 

‘’Dan tidak membenarkan bank dan anak syarikat mengenakan kadar faedah yang terlalu tinggi dan menyebabkan beban kewangan yang kritikal kepada pengguna.

 

‘’Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia, sebagai pengawal selia, harus melindungi pengguna daripada amalan tidak adil,’’ kata beliau.


 

Dr Paul Selva Raj
               Dr Paul Selva Raj

 


Pengendali e-pembayaran juga mendakwa bahawa ia akan telus, namun kata Dr Paul,  telus sahaja tidak cukup kerana bank juga diharap bertindak dengan cara yang adil, saksama dan tidak menganiaya pengguna.

 

‘’Fungsi pengawal selia adalah untuk memastikan bahawa Ah long dan loan shark pun boleh telus. Adakah mereka akan dilesenkan?

 

‘’Fomca menyeru kerajaan bertindak segera untuk menghentikan pencatutan dan bahaya kritikal yang dikenakan oleh skim GOpinjam ini kepada pengguna. Kadar faedah untuk pinjaman tidak boleh melebihi kadar yang dikenakan oleh kad kredit,’’ kata Dr Paul. – DagangNews.com