'Food Courts by GrabFood' bantu kembangkan perniagaan kecil secara digital | DagangNews Skip to main content

'Food Courts by GrabFood' bantu kembangkan perniagaan kecil secara digital

Food Courts by GrabFood

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Aplikasi penyedia perkhidmatan harian pengguna, Grab memperkenalkan 'Food Courts by GrabFood’ untuk membantu peniaga kecil dan tradisional mengambil bahagian dalam ekonomi digital selain dapat mengembangkan perniagaan.

Pengarah Urusannya, Sean Goh berkata, usaha tersebut akan membantu digitalisasi dan meningkatkan penjualan agar lebih banyak perniagaan kecil dan tradisional di seluruh negara.

"Medan selera dan pasar tradisional merupakan sebahagian besar daripada masyarakat kita. Walaupun sekatan pergerakan telah dilonggarkan, ramai perniagaan kecil masih terkesan dan mengalami kerugian dalam mata pencarian mereka. 

"Inilah sebabnya kami menumpukan usaha kami untuk mewujudkan platform inklusif yang boleh digunakan oleh perniagaan tradisional bagi meningkatkan jualan mereka dalam keadaan normal baharu. Dengan rangkaian penghantaran yang boleh dipercayai dan komuniti pengguna yang besar di seluruh negara, kami berharap dapat memainkan peranan dalam membantu melestarikan budaya Malaysia yang dekat di hati kami," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan pelancaran 'Food Courts by GrabFood', pelanggan boleh memesan daripada beberapa vendor yang berbeza di satu medan selera dan hanya perlu membuat sekali bayaran penghantaran.

Kelebihan itu membolehkan para pengguna menyokong kedai makanan tempatan dengan harga yang berpatutan di samping masih mengamalkan penjarakan fizikal.

Kini, perkhidmatan tersebut terdapat di medan selera di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka dan Ipoh.

Jelasnya, Grab turut memperluaskan 'Pasar by GrabMart’ ke Kota Kinabalu bermula dengan Pemborong Sayur 333 susulan kejayaannya di Lembah Klang dan Chowrasta, Pulau Pinang.

Pengguna di Pulau Pinang dapat mencari beberapa pasar lain di GrabMart iaitu Pasar Batu Lanchang, Pasar Bayan Baru, Pasar Seberang Jaya dan Pasar Bagan Ajam yang akan tersedia di GrabMart pada awal Oktober nanti.

"Selain membantu perniagaan tradisional memperluas pangkalan pelanggan mereka, inisiatif ini juga memberi pilihan yang lebih berpatutan kepada keperluan harian orang ramai.

'Kami akan terus menginovasi ekosistem perkhidmatan kami bagi terus menyokong semua rakyat Malaysia dalam pelbagai jenis perniagaan untuk mencari peluang bagi mengembangkan lagi jaringan kepada pelanggan melalui kemudahan teknologi,” tambah Goh. - DagangNews.com