Foundpac ambil alih hartanah perindustrian bernilai RM41.88 juta di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Foundpac ambil alih hartanah perindustrian bernilai RM41.88 juta di Pulau Pinang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Dis - Foundpac Group Berhad telah mencadangkan untuk mengambil alih hartanah perindustrian bernilai RM41.88 juta di Pulau Pinang.

 

Menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikatnya, Foundpac Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Bluemetal Sdn Bhd pada 21 Disember untuk pengambilalihan tanah perindustrian pegangan pajak.

 

Tanah berukuran lebih kurang 16,723 meter persegi di Bayan Lepas itu mempunyai sebuah kilang berkembar satu tingkat, merangkap bangunan pejabat dua tingkat.

 

Syarikat pembuatan alat kejuruteraan ketepatan itu menjangkakan pengambilalihan itu selesai pada separuh pertama tahun depan dan menjadikannya hartanah kelima di negeri itu.

 

Menurut kumpulan itu, cadangan tersebut dilaksanakan agar ia boleh menyatukan operasi pengeluarannya yang terletak di Pulau Pinang (iaitu kilang yang terletak di Batu Maung, Bayan Lepas dan Prai) kepada satu premis.

 

Kumpulan itu berpendapat bahawa pengambilalihan terbabit akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan kewangan dan operasi pada masa hadapan memandangkan ia dapat memindahkan operasi pengeluarannya yang dikenal pasti ke dalam satu premis pada separuh kedua 2026 (tertakluk kepada penyiapan kerja-kerja baik pulih kecil dan penambahbaikan).

 

“Saiz hartanah itu membolehkan kumpulan menampung operasi pengeluaran yang dikenal pasti secara besar-besaran serta ruang lantai tambahan untuk potensi pemasangan kapasiti pengeluaran tambahan untuk menampung pertumbuhan perniagaan dalam jangka panjang.

 

“Inisiatif strategik ini juga akan memperoleh potensi penjimatan kos kepada kumpulan, selain jangkaan kecekapan operasi dan pengoptimuman sumber,” katanya.

 

Di samping itu, Foundpac berkata ia akan menerima sewa bulanan sebanyak RM244,000 apabila pengambilalihan itu selesai sehingga 17 Jun 2026, sekali gus meningkatkan pendapatannya pada asas jangka pendek sementara kumpulan itu melaksanakan perancangan yang perlu diambil untuk penempatan semula dan penyatuan operasi pengeluarannya.

 

Pada masa ini, hartanah tersebut dipajak oleh Flextronics Technology (Penang) Sdn Bhd bagi tempoh tiga tahun sehingga 17 Jun 2026.

 

Saham Foundpac ditutup kekal pada 41.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM226.9 juta. - DagangNews.com