FPSO Anna Nery milik Yinson Holdings mulakan pengeluaran di Lembangan Campos pada 7 Mei 2023 | DagangNews Skip to main content

FPSO Anna Nery milik Yinson Holdings mulakan pengeluaran di Lembangan Campos pada 7 Mei 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Petrobras memaklumkan bahawa unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Anna Nery sudah memulakan pengeluaran pada 7 Mei 2023, di Lembangan Campos, dalam projek penggiatan semula ladang Marlim dan Voador.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Petrobras, Jean Paul Prates berkata, FSPO Anna Nery milik Yinson Holdings Berhad itu mampu menghasilkan sehingga 70,000 tong minyak setiap hari dan memproses 4 juta meter padu gas.

 

“Ini adalah projek terbesar di dunia dalam pemulihan aset matang dalam industri luar pesisir.

 

"Melaluinya, kami akan meningkatkan pengeluaran, mengekalkan pekerjaan dan membuka ruang pembelajaran serta pengetahuan penting untuk projek lain yang serupa di seluruh Brazil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Unit Anna Nery bersama-sama dengan Anita Garibaldi, juga FPSO, membentuk projek penggiatan semula utama yang pertama untuk ladang matang di Lembangan Campos.

 

Penggunaan kedua-dua sistem pengeluaran baharu itu bersesuaian dengan format penerokaan lapangan matang, menyediakan kesinambungan operasi kepada ladang Marlim dan Voador, meningkatkan pengeluaran kepada purata bersamaan 150,000 tong minyak sehari (boed). 

 

Ia juga mengekalkan pekerjaan dan perkhidmatan sokongan dan membuka bidang pembelajaran serta pengetahuan yang penting untuk projek-projek pemulihan yang lain.

 

FPSO Anna Nery berlabuh di kedalaman air 927 meter dan disambungkan ke 32 telaga, dengan pengeluaran puncak dijadualkan pada 2025.

 

Projek penjanaan semula Marlim dan Voador akan menyumbang kepada pemulihan pengeluaran Lembangan Campos, yang kini berjumlah kira-kira 560,000 boed. 

 

Unjuran untuk pengeluaran lembangan ialah 900,000 boed pada 2027. - DagangNews.com