FPSO Maria Quiteria milik Yinson berjaya mengeluarkan minyak pertama pada 15 Oktober 2024 | DagangNews Skip to main content

FPSO Maria Quiteria milik Yinson berjaya mengeluarkan minyak pertama pada 15 Oktober 2024

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Okt - Yinson Production mengumumkan kapal penyimpanan, pengeluaran terapung dan pemunggahan (FPSO) Maria Quiteria berjaya mengeluarkan minyak pertama pada 15 Oktober 2024 selepas menjalani ujian selama 72 jam.

 

Kejayaan itu menandakan permulaan penyewaan tetap projek tersebut, dengan kadar harian yang dikontrakkan dibayar kepada Yinson Production untuk tempoh 22 tahun setengah, sehingga 2047.

 

Projek tersebut juga mencatat pencapaian keselamatan yang mengagumkan dengan 21.6 juta jam kerja tanpa insiden sehingga akhir Ogos 2024. 

 

FPSO Maria Quiteria merupakan aset kedua Yinson Production untuk kliennya, Petrobras, selepas FPSO Anna Nery pada Mei 2023. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Gronnegaard berkata, pencapaian FPSO Maria Quiteria menunjukkan komitmen syarikatnya untuk menyampaikan kecemerlangan dalam pengeluaran luar pesisir. 

 

"Pencapaian ini mencerminkan dedikasi pasukan kami terhadap keselamatan, inovasi dan kecemerlangan operasi, serta menguatkan kerjasama jangka panjang kami dengan Petrobras.

 

"Kami telah berkembang secara berterusan dalam operasi di Brazil selama beberapa tahun lalu, dan dengan penyertaan FPSO Maria Quiteria dalam armada kami, kami berharap dapat menyumbang lebih kepada keperluan tenaga negara dan membantu memacu pertumbuhan ekonomi serta komuniti di Brazil," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Pengurus Am Petrobras untuk Projek Luar Pesisir, Marcio Mattoso, pengeluaran minyak pertama FPSO Maria Quitéria mencatat pencapaian besar untuk pembangunan lapangan Jubarte di Lembangan Campos. 

 

"Yinson sekali lagi menunjukkan komitmen tinggi terhadap tarikh akhir yang dijadualkan dan kualiti tinggi FPSO," ujarnya.

 

Pengurus Projek FPSO Maria Quiteria Noel Denton menyifatkan, kejayaan projek terbabit adalah bukti usaha tanpa henti, kemahiran dan semangat positif pasukan projek. 

 

"Projek ini bukan sahaja menyerlahkan keupayaan teknikal, kami tetapi juga mencerminkan perpaduan yang memacu kejayaan kami di Yinson Production," katanya.

 

Pengurus Kontrak Petrobras semasa fasa pembinaan, Tiago Estefen mengucapkan tahniah kepada Yinson Production, Cosco Shipping dan semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam pencapaian penting tersebut sambil menekankan, FPSO Maria Quiteria akan membantu memenuhi permintaan tenaga di kawasan berkenaan.

 

Yinson Production telah dianugerahkan projek FPSO Maria Quiteria oleh Petrobras pada November 2021 dan kerja-kerja penukaran dimulakan pada 25 Januari 2022. 

 

Setelah berjaya menyelesaikan fasa pembinaan projek, kapal tersebut belayar ke Brazil pada awal Mei 2024.

 

Selain itu, pada 26 September 2024, Yinson Production telah dianugerahkan Anugerah Pembekal Terbaik Petrobras 2024 dalam kategori Kejuruteraan Luar Pesisir atas pelaksanaan projek FPSO Maria Quiteria.

 

FPSO Maria Quiteria mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 100,000 tong minyak sehari dan kapasiti penyimpanan sebanyak 1,000,000 tong. 

 

FPSO itu akan beroperasi di lapangan Jubarte, di Lembangan Campos di luar pantai Espírito Santo. 

 

Kapal tersebut juga merupakan FPSO pertama dalam armada Yinson Production yang mengoperasikan penjanaan wap pemulihan haba (HRSG) sebagai sebahagian daripada sistem penjanaan kuasa kitaran gabungan. 

 

Selain itu, kapal terbabit mengandungi ciri-ciri pengurangan pengeluaran karbon lain seperti penggerak elektrik, kawalan proses automatik dan sistem penyala tertutup. - DagangNews.com