Futurise, ISN meterai MoU perkukuh pembangunan teknologi sukan | DagangNews Skip to main content

Futurise, ISN meterai MoU perkukuh pembangunan teknologi sukan

(Dari kiri) Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad; Menteri Belia & Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Mahadhir Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli.

(Dari kiri) Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad; Menteri Belia & Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Mahadhir Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Syarikat penyedia penyelesaian inovasi dan teknologi, Futurise Sdn. Bhd. (Futurise) dan Institut Sukan Negara (ISN) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerangka kawal selia dalam pembangunan teknologi sukan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Mahadhir Aziz berkata, kerjasama tersebut adalah untuk membentuk kerangka kawalan baharu berkaitan pasaran sukan, teknologi sukan dan kemajuan yang berpotensi untuk membentuk ekosistem baharu.

"Ada keperluan untuk kita terus memperkukuh kerangka kawalan samada penambahbaikan teknologi sukan, panduan baharu atau masalah dasar.

"Terdapat prospek besar dalam pasaran sukan yang boleh diubah menjadi ekosistem yang berpotensi memberi keuntungan di Malaysia dengan kemajuan teknologi," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli bersama Mahadhir Aziz.

Majlis tandatangan MoU ISN INSPIRE 2020 yang dilangsungkan di Bukit Jalil itu turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Tambah Mahadhir lagi, MoU tersebut turut membawa kedua-dua pihak meneroka dan mengenal pasti potensi kerjasama untuk membina model perniagaan yang mampan serta penyelesaian inovatif berkaitan teknologi sukan.

ISN juga akan terus berusaha memberikan kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan teknologi sukan dan inovasi.

Ujarnya, Futurise juga sedang melakukan perbincangan awal dengan salah satu rakan ISN bagi penyelesaian isu pengawalseliaan.

"Industri sukan sangat meluas. Untuk waktu terdekat, pasaran sukan Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi ekosistem yang akan mendorong pasaran dan pelaburan sukan.

"Futurise berharap dapat mengukuhkan inovasi teknologi dalam sukan kepada negara selain mengharapkan kerjasama yang bermanfaat bersama ISN," katanya. - DagangNews.com