Futurise-KDI perkukuh penyelidikan bersama Korea dan Malaysia  | DagangNews Skip to main content

Futurise-KDI perkukuh penyelidikan bersama Korea dan Malaysia 

Institut Pembangunan Korea atau KDI
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Futurise Sdn. Bhd. (Futurise) dengan kerjasama Institut Pembangunan Korea (Korea Development Institute-KDI) bakal mempromosikan perkongsian pengetahuan dan meneruskan aktiviti penyelidikan dalam bidang kepentingan bersama. 

 

Kolaborasi yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu merangkumi reka bentuk dan melestarikan program pengurusan 'sandbox’ serta platform inovasi terbuka. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Mahadhir Aziz berkata, pelbagai cabaran diwujudkan hasil daripada pembangunan pesat yang dihadapi di seluruh dunia tetapi jalan penyelesaiannya sering tertumpu kepada konteks tempatan. 

 

“Kerjasama ini mencari jalan penyelesaian yang dapat disesuaikan, dipertingkatkan atau diulang pakai seluruhnya bergantung kepada masyarakat dan ekosistem.

 

Mahadhir Aziz
Mahadhir Aziz

 

“Menerusi usaha ini, kami dapat menyatukan sumber-sumber daripada kedua-dua pihak yang akan memastikan matlamat utama untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam menghasilkan pengetahuan untuk Futurise dan KDI,” katanya dalam sebuah kenyataan. 

 

MoU berkenaan menggariskan tujuan utama kerjasama tersebut untuk mendorong pengembangan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang operasi ‘sandbox’ termasuklah inisiatif-inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan mendapat pemahaman yang lebih komprehensif mengenai kesan-kesan teknologi terhadap ekonomi dan masyarakat selain meneruskan perbincangan dalam keperluan untuk rangka kerja masa hadapan kedua-dua negara.

 

"Pada tahap permulaan kerjasama ini, Futurise dan KDI akan menumpukan perhatian mendalam kepada pemahaman tentang peraturan-peraturan teknologi kenderaan berautonomi (AV) dan servis penjagaan kesihatan dalam talian yang dilaksanakan di kedua-dua negara serta impaknya kepada masyarakat." tambah Mahadhir. 

 

Pada Disember 2020, Futurise mengumumkan persetujuan Laluan Pengujian Kenderaan Berautonomi Malaysia (MyAV) Cyberjaya yang dibangunkan bersama dengan Kementerian Pengangkutan di bawah inisiatif Sandbox Pengawalseliaan Nasional (NRS). 

 

Bagi teknologi AV, hasil utama kerjasama itu adalah untuk meninjau dan mengemas kini garis panduan MyAV Testing Route (laluan ujian MyAv) semasa dengan mengikut peraturan-peraturan semasa dan trend teknologi serta amalan terbaik dari Korea.

 

Garis panduan yang diperbaiki itu akan menjadi titik acuan di peringkat nasional, yang dapat diguna pakai dan dilaksanakan di lokasi-lokasi lain di Malaysia. 

 

Kerjasama dengan KDI juga membantu untuk mendorong penggunaan kenderaan autonomi di Malaysia.

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Pengawalseliaan di KDI, Dr. Jungwook Kim meletakkan harapan tinggi untuk menjalankan program penyelidikan bersama mengenai pengawal seliaan 'sandbox' yang memfokuskan pada jangkaan trend masa depan untuk inovasi dan teknologi baharu bersama Futurise.

 

Di bawah rangka kerja tersebut, sebahagian daripada rancangan dan inisiatif akan merangkumi aktiviti-aktiviti seperti bengkel bersama dan menganjurkan seminar yang bertujuan berkongsi pengetahuan, merangkumi pertukaran maklumat dan perundingan dengan tujuan mengenal pasti bidang tambahan seperti kecerdasan buatan, perkongsian maklumat, ekonomi pekeliling dan banyak lagi.

 

Untuk rekod, Futurise merupakan anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn. Bhd. di bawah Kementerian Kewangan, yang berperanan aktif sebagai Penasihat Dasar Awam Kementerian dan industri dalam membentuk Malaysia untuk Ekonomi Masa Depan. - DagangNews.com