Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Hasil industri telekomunikasi Malaysia dijangka terus mengalami kemerosoton sebanyak 3.9% pada tahun kewangan 2020 (FY20).
Pada tempoh sama, hasil tiga syarikat komunikasi terbesar Malaysia iaitu Digi, Maxis dan Celcom pula diramalkan merosot sebanyak 5.8%.
CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) berkata, keadaan itu didorong oleh persaingan pasaran industri yang sengit.
“Kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor telekomunikasi Malaysia.
“Hasil aset legasi turut merosot, hasil borong yang lebih lemah dalam U Mobile bagi Maxis, pendapatan tambah nilai prabayar, suara dan data perayauan menurun kerana COVID-19, serta penurunan kadar litar bersepadu (IC) mudah alih.
“Walaupun pertumbuhan pelanggan Unifi mengukuh, tetapi pendapatan jalur lebar tetap merosot pada tahun ini bagi Streamyx dan Unifi ARPU,” jelas analisis CGS-CIMB.
Pada suku kedua 2020 (2Q20), hasil perkhidmatan industri mudah alih menjunam sebanyak 8.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Antara ketiga-tiga syarikat telekomunikasi itu, Celcom menunjukkan prestasi terburuk dengan hasil merosot sebanyak 6.1% berbanding suku sebelumnya, dan menurun 14.7% berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Hasil Digi pula turun 5.0% berbanding suku sebelumnya dan 6% berbanding tahun sebelumnya serta Maxis merosot 2.2% berbanding suku pertama 2020 (1Q20) dan 5.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Segmen pasca bayar pula bersaing sengit pada Jun hingga September 2020 memandangkan syarikat telekomunikasi berterusan menawarkan kuota internet lebih bagi harga yang sama, di mana sekali gus mendorong pengewangan data (data monetisation) yang lemah,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com