KUALA LUMPUR 18 Okt - G Capital Bhd. menerusi anak syarikatnya, CM Creative Itinerary Sdn. Bhd. akan membangunkan projek hidro tenaga mini di Sabah dengan usaha sama Yayasan Sabah.
Ia menyaksikan G Capital memeterai perjanjian usaha sama dan pemegang saham dengan dua anak syarikat Yayasan Sabah, Innoprise Synergy Sdn. Bhd. dan Kerap Hijau Sdn. Bhd.
"Pihak-pihak terbabit telah bersetuju untuk mengumpulkan sumber mereka secara kolektif, yang membawa kepada pengumpulan dana tidak kurang daripada RM3 bilion dalam membangunkan projek tersebut dengan kapasiti 200 MW yang pertama, mungkin dibiayai melalui penjanaan dana dan pinjaman bank," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Innoprise secara dasarnya terlibat terutamanya dalam perniagaan mengurus dan mengendalikan pengagihan kuasa bebas.
Ia merupakan anak syarikat milik penuh Innoprise Corp. Sdn. Bhd. yang dimiliki majoriti oleh Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.
Kerap Hijau pula dimiliki sepenuhnya oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia dengan terbitan modal saham RM100 terdiri daripada 100 saham biasa.
Syarikat menjalankan operasi kemudahan penjanaan yang menghasilkan tenaga elektrik dan perdagangan am.
Menurut G Capital, cadangan usaha sama itu melibatkan Tan Sri Pandikar yang memindahkan 80 saham biasa Kerap Hijau kepada CM Creative dengan harga RM80 dan 20 saham Kerap Hijau kepada Innoprise dengan harga RM20.
"Usaha sama yang dicadangkan ini tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas modal saham terbitan dan pemegangan saham besar G Capital kerana usaha sama yang dicadangkan tidak memerlukan sebarang penerbitan saham biasa baharu dalam kumpulan," jelasnya. - DagangNews.com