G Capital meterai perjanjian pembelian tenaga solar dengan Federal Packages | DagangNews Skip to main content

G Capital meterai perjanjian pembelian tenaga solar dengan Federal Packages

KUALA LUMPUR 28 Julai - G Capital Bhd. memeterai perjanjian pembelian tenaga solar (PPA) selama 25 tahun dengan Federal Packages Sdn. Bhd. (FP) membabitkan sistem jana kuasa solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 5,500 KWp di Simpang Ampat, Pulau Pinang. 

 

Di bawah PPA yang dimeterai menerusi anak syarikat yang dimilikinya dengan pegangan 70%, Solarcity Malaysia Sdn. Bhd. itu, ia akan mereka bentuk, membina, memasang, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara sistem solar PV tersebut. 

 

Pengarah Eksekutif G Capital, Datuk Yap Yee Ping berkata, sejak awal 2022, kumpulan telah berjaya menjana empat sistem solar PV, berjumlah 14.2MWp.

 

Setakat ini, katanya, kumpulan mempunyai sejumlah 15.3MW loji berkuasa solar yang beroperasi melalui PPA jangka panjang dengan pelanggan.

 

"Kami gembira dengan keyakinan ditunjukkan daripada Muda, yang membuktikan perkongsian tenaga boleh diperbaharui (RE) jangka panjang kami.

 

"Pada masa sama, kami turut mengalu-alukan kontrak tambahan ini selepas kami mentauliahkan sistem solar PV 7.2MWp kepada anak syarikat Muda suku pertama 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

FP adalah anak syarikat milik penuh Muda Holdings Bhd., yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Securities Malaysia Bhd. dengan kumpulan syarikat yang terlibat dalam perniagaan pengilangan dan pembuatan kertas dengan rangkaian produk yang luas, termasuk kilang, pembungkusan, beg kertas dan produk alat tulis berasaskan kertas.

 

Loji tersebut dijangka mencapai tarikh operasi komersial pada suku pertama 2023 dan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan G Capital. 

 

Yee Ping kekal optimis dengan pertumbuhan segmen solar kumpulan memandangkan terdapat potensi skala besar untuk membantu pemilik perniagaan merangkumi sektor komersial dan perindustrian untuk memanfaatkan tenaga hijau.

 

"Kami percaya komitmen dan rekod prestasi kami yang berjaya adalah testimoni yang cukup kuat untuk menarik orang lain menyertai kami dalam perjalanan RE dan memupuk penerimaan tenaga hijau," katanya. - DagangNews.com