G Capital mulakan operasi solar PV sulung di Pulau Indah, Selangor lebih awal | DagangNews Skip to main content

G Capital mulakan operasi solar PV sulung di Pulau Indah, Selangor lebih awal

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - G Capital Berhad (GCAP) melalui anak syarikat dengan pegangan kepentingan 70%, Solarcity Malaysia Sdn Bhd (Solarcity) telah menyempurnakan pemasangan dan memulakan operasi sistem jana tenaga elektrik solar fotovoltan 1.1 MW untuk De-Luxe Food Services Sdn Bhd (Deluxe Food) di  Pulau Indah, Selangor pada 5 September 2021.

 

Ini susulan daripada Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 25 tahun yang dimeterai sebelum ini.

 

Pengoperasian pertama Sistem Solar PV itu menandakan tonggak penting bagi kumpulan sejak menceburi dalam bidang penyediaan penyelesaian tenaga solar melalui Solarcity pada Februari 2021.

 

Pengarah Eksekutif GCAP, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, pihaknya telah mencatat kejayaan yang membanggakan apabila Sistem Solar PV telah memulakan operasinya lebih awal daripada jadual yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada bulan Mac.

 

Ali Hamsa
Ali Hamsa

 

"Penghargaan bukan hanya diberikan kepada usaha kumpulan, tetapi juga kepada kerjasama daripada kumpulan pengurusan Deluxe Food; kami juga bersyukur kerana cuaca yang cerah ketika proses pemasangan.

 

“Deluxe Food adalah sebahagian daripada perkhidmatan penting yang turut terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP),” katanya dalam satu kenyataan.

 

Deluxe Food adalah pengeluar dan pengedar produk bakeri dingin beku premium di bawah jenama Hearty Bake.

 

Deluxe Food merupakan anak syarikat milik penuh Envictus International Holdings Limited, yang disenaraikan di Singapore Exchange Securities Trading Limited.

 

Kumpulan Envictus secara dasarnya terlibat dalam perkhidmatan makanan, pemprosesan makanan dan juga makanan dingin beku.

 

Hasil daripada bahagian tenaga solar akan memberi tambahan kepada pendapatan teras kumpulan iaitu daripada segmen pengangkutan bermula 5 September 2021, tarikh permulaan operasi komersial.

 

Difahamkan, GCAP dalam perancangan untuk menambah satu lagi Sistem Solar PV 15.5MW yang sedang dalam permohonan, selain mematuhi prosedur standard operasi ("SOP") yang diumumkan oleh kerajaan.

 

Sebelum ini, Solarcity telah memiliki enam PPA 16.6MW selama 25 tahun dan syarikat kini dalam proses akhir untuk mendapatkan sekurang-kurangnya PPA 14MW. - DagangNews.com