G Capital raih kontrak bernilai RM7.05 juta di Langkawi | DagangNews Skip to main content

G Capital raih kontrak bernilai RM7.05 juta di Langkawi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Julai - G Capital Berhad menerusi G Capital Water Solution Sdn. Bhd. menerima kontrak sebagai subkontraktor pakar Air Tanpa Hasil (NRW) bagi Program NRW Nasional Pendekatan 1 di Pulau Langkawi bernilai RM7.05 juta.

 

G Capital Water Solution yang merupakan 51% syarikat pegangan G Capital menerima surat anugerah (LOA) bagi projek berkenaan daripada Pembinaan Limpah Bersatu Sdn. Bhd. 

 

Projek berkenaan dibiayai oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air dan ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 13 bulan bermula Julai 2022.

 

"Skop kerja bagi projek berkenaan melibatkan kerja-kerja pengurangan NRW di Pulau Langkawi, pemodelan hidraulik, penilaian paip, penambahbaikan rangkaian dan kerja-kerja penggantian paip lama," katanya dalam satu pemakluman di Bursa Malaysia, hari ini.

 

Projek berkenaan dijangka menyumbang secara prositif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan sehingga ia disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

 

Pemberian LOA itu dijangka tidak memberikan sebarang impak kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Tiada sebarang pengarah atau pemegang saham utama G Capital dan individu berkaitan syarikat memiliki kepentingan di dalam LOA itu.

 

"LOA itu juga tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham syarikat, Bursa Malaysia Securities Berhad atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya. - DagangNews.com