G3 Global dan rakan kongsi dari China kekal komited lanjutkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia | DagangNews Skip to main content

G3 Global dan rakan kongsi dari China kekal komited lanjutkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia

G3 akan terus memberi tumpuan kepada AI dan penyelesaian berasaskan IT yang lain untuk mengembangkan perniagaan.

KUALA LUMPUR 25 AprilG3 Global Berhad, pembangun kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian berasaskan teknologi maklumat (IT) yang lain untuk pelbagai industri, kekal komited kepada visi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SenseTime Group Ltd dan China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC) untuk membangunkan Taman AI.

 

MoU yang ditandatangani pada 26 April 2019 itu tamat pada hari ini.

 

Pengarah Urusan, Dirk Quinten berkata, G3 akan terus memberi tumpuan kepada AI dan penyelesaian berasaskan IT yang lain untuk mengembangkan perniagaan.

 

Menurutnya, pihak-pihak dalam MoU menyatakan bahawa landskap untuk pembangunan Taman AI yang dirangkakan pada awalnya telah berubah dan projek itu mungkin perlu dilaksanakan dalam bentuk baharu.

 

Katanya, G3 serta SenseTime dan CHEC kekal berminat untuk bekerjasama dalam projek AI & IT berskala besar yang mampan dalam jangka panjang.

 

‘’Kami telah meneroka dan membincangkan konsep yang memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing, sambil pada masa yang sama mempertimbangkan pelan hala tuju AI dan kedudukan strategik Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Dirk Quinten
                         Dirk Quinten

 

 

Syarikat akan membuat pengumuman yang perlu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad apabila terdapat perkembangan lanjut mengenai perbincangan ini. – DagangNews.com