Gabungan meter pintar, MyTNB elak pembaziran | DagangNews Skip to main content

Gabungan meter pintar, MyTNB elak pembaziran

.

KUALA LUMPUR 22 Mac. - Gabungan penggunaan meter pintar bersama aplikasi mudah alih MyTNB dapat membantu pengguna kediaman mengawal penggunaan elektrik sekali gus mengelakkan pembaziran. 

 

Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir Mohamed Ghous Ahmad berkata, perkara itu terbukti apabila 24% pengguna meter pintar di Melaka dapat menurunkan kadar bil elektrik melalui pemantauan MyTNB.

 

Katanya, meter pintar berfungsi sebagai jangka yang mengukur aliran tenaga elektrik dan  menghantar maklumat penggunaan ke pusat penyimpanan data TNB setiap hari.

 

"Informasi penggunaan elektrik ini boleh diakses pengguna di MyTNB  bagi membantu mereka merancang dan mengawal  penggunaan  tenaga elektrik dengan cekap serta cermat

 

"Pengguna yang tidak memiliki meter pintar juga boleh menjejak penggunaan tenaga masing-masing menggunakan aplikasi ini tetapi hanya secara bulanan.

 

"Setakat ini, pemasangan meter pintar telah melebihi 1 juta unit dan ia diteruskan kepada kesemua  9.1 juta pengguna di Semenanjung Malaysia menjelang 2026," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Kerajaan memilih Melaka sebagai negeri pertama melaksanakan pemasangan meter pintar dengan lebih 360,000 telah dipasang sejak 2014 dan pemasangan meter berkenaan kini giat dilaksanakan di Lembah Klang.

 

Aplikasi MyTNB pula adalah dalah aplikasi mudah alih percuma untuk menguruskan akaun elektrik pengguna TNB. 

 

Ia boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery manakala portal MyTNB boleh dilayari di www.mytnb.com.my. 

 

Sehingga Feb 2021, lebih 4.8 juta akaun pengguna berdaftar telah menggunakan aplikasi MyTNB.

 

Tambah beliau lagi, pemasangan meter pintar yang lebih meluas itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pengguna ke arah mengubah tabiat penggunaan elektrik secara lebih cekap dan berhemah. 

 

TNB adalah ejen pelaksana program pemasangan meter pintar bagi menyokong hasrat kerajaan memperkasa pengguna dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat. 

 

Ia dilaksanakan di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR). - DagangNews.com