KUALA LUMPUR 21 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengurangkan unjuran akhir tahun FBM KLCI kepaa 1,470 mata daripada 1,540 mata sebelum ini berikutan ketidaktentuan politik selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Namun, penganalisisnya, Jeremy Goh berkata, kebuntuan ketika ini mungkin tidak berlarutan terlalu lama berdasarkan kepada dua krisis politik pada 2020 dan 2021.
Menurutnya, gabungan yang dilihat lebih munasabah mungkin melibatkan Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN)-Gabungan Parti Sarawak (GPS)-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk 131 kerusi memandangkan struktur kerajaan yang agak serupa sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Sekiranya ini berlaku, katanya, akan menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, calon Perdana Menteri untuk PN yang mempunyai kerusi terbanyak dalam kalangan empat parti itu berkemungkinan akan kembali ke jawatan tersebut.
"Walaupun kerajaan yang dibentuk melalui pakatan yang longgar boleh meningkatkan ketidakstabilan politik, namun Rang Undang-undang Anti-Lompat Parti yang berkuat kuasa pada 5 Oktober, sepatutnya membantu mengurangkan ketidaktentuan ini.
"Namun, keputusan pilihan raya yang menyaksikan Parlimen tergantung tidak pernah berlaku sebelum ini untuk Malaysia, bursa tempatan berkemungkinan berdepan reaksi terkejut hari ini," katanya dalam nota kajian hari ini,
Baca : GPS mengesahkan sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai PM ke-10
Pasaran ekuiti tempatan goyah pada hari dagangan pertama selepas PRU15 dan jatuh lebih daripada 1%, apabila kebuntuan politik dengan Parlimen yang tergantung menggegarkan pelabur.
Pada 9.12 pagi pagi, KLCI telah jatuh 1.22% atau 17.74 mata kepada 1,431.58 mata. Indeks itu sebelum ini susut ke paras terendah 1,434.55 mata.
Mata wang tempatan juga menyusut nilai sebanyak 290 mata asas (bps) kepada RM4.5780/5880 berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis pada RM4.5490/5565. Setakat 10.30 pagi, ringgit berada pada paras 4.58 berbanding dolar AS, susut 0.66%
Goh berkata, 'Langkah Sheraton' yang mengakibatkan pertukaran kerajaan (PH kepada PN-BN-GRS) dan PM (Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Muhyiddin) menyaksikan KLCI jatuh 3.2% dalam tempoh 1 minggu pada Februari 2020 walaupun ia dilihat seiring dengan tercetusnya wabak COVID-19.
Pada 2021, perkembangan yang membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin sebagai PM, bermula dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk menarik balik sokongan (8 Julai) menyaksikan penurunan KLCI sebanyak 2.6% dalam tempoh hampir sebulan.
Namun, pasaran kembali pulih meningkat 2.2% apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakod mengangkat sumpah sebagai PM pada 20 Ogos 2021.
"Kali ini kami akan mengambil kira sebarang kelemahan pasaran pada November untuk bertaruh terhadap kemungkinan kesan yang positif pada Disember," jelasnya.
PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.
Daripada 220 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya itu, PH memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi.
Susulan itu, Istana Negara dalam kenyataan semalam mahu gabungan parti-parti politik yang dipersetujui supaya mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang ini. - DagangNews.com