Gadang raih subkontrak RM680 juta dalam projek RTS Link JB-Singapura | DagangNews Skip to main content

Gadang raih subkontrak RM680 juta dalam projek RTS Link JB-Singapura

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Julai - Gadang Holdings Bhd memperoleh subkontrak dengan jumlah keseluruhan RM680 juta bagi kerja-kerja di dalam projek Pautan Sistem Transit Rapid (RTS Link) yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands, Singapura.

 

Kumpulan kejuruteraan pembinaan berkata anak syarikat milik penuhnya Gadang Engineering (M) Sdn Bhd pada 19 Julai telah menerima dua surat anugerah daripada Adil Permata Sdn Bhd, kontraktor utama projek RTS Link.

 

Yang pertama bernilai RM370 juta dan yang kedua bernilai RM310 juta, katanya dalam pemakluman di Bursa Malaysia, sambil menambah bahawa ia dijangka siap pada 30 Jun 2024.

 

Gadang berkata kedua-dua pakej itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan itu.


 

rts link
PETA satelit menunjukkan laluan RTS Link dari Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.

 

 

Bagi sembilan bulan berakhir 28 Feb 2022, Gadang mencatatkan keuntungan bersih RM45.68 juta, meningkat 15.6 kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

 

Harga saham Gadang naik 2 sen atau 5.88% kepada 36 sen pada pagi ini, menilai kumpulan itu pada RM262.10 juta. - DagangNews.com