KUALA LUMPUR 17 Julai - Samsung Galaxy A51 dan A71 kini lebih ke hadapan dengan pembaharuan perisian yang membolehkan pengguna memanfaatkan ciri-ciri inovasi hebat yang ada pada S20.
Samsung dalam satu kenyataan memberitahu, pembaharuan itu membawa pengguna menikmati kelebihan dari segi kualiti gambar, perhubungan dan perkongsian yang lebih dinamik.
"Pengguna Galaxy A51 dan A71 kini boleh mengabadikan kenangan gambar mereka sama seperti kualiti yang ada pada siri S20 yang dilengkapi dengan ciri inovatif seperti Single Take.
"Melalui ciri Single Take, pengguna dapat merakam hingga sepuluh saat dengan pelbagai mod termasuk Live Focus, Smart Crop, video dan Al filter," jelas kenyataan itu.
Pengguna Galaxy A51 dan A71 kini boleh menikmati beberapa fungsi Mode Pro yang ada pada Galaxy S20 termasuk Fokus Manual dan kawalan Shutter Speed.
Ciri-ciri tersebut memberi peluang lebih banyak kepada pengguna untuk mempelbagaikan cara menangkap gambar dan video.
Jelas kenyataan itu lagi, ciri Night Hyperlapse pula membolehkan pengguna tampil lebih kreatif untuk menghasilkan gambar ketika matahari terbenam selain dapat menikmati penggunaan My Filter bagi suntingan gambar peribadi pengguna.
Dari segi kemudahan perkongsian, pembaharuan melalui ciri Quick Share dan Music Share pula membantu memudahakan perkongsian butiran termasuk gambar, video dan muzik dengan pantas.
Dengan hanya menekan ikon Quick Share, pengguna boleh memilih satu atau lebih kenalan untuk berkongsi dengan cara lebih mudah. Music Share pula membolehkan pengguna membuat sambungan muzik ke pembesar suara memalui Bluetooh.
Pembaharuan ciri Clean View pula membolehkan pengguna mengumpul hingga 100 gambar pada Galeri ke dalam satu fail agar lebih teratur disamping ciri Quick Crop yang dapat digunakan untuk mengubah saiz gambar secara langsung pada skrin tayangan.
"Keunggulan ciri tersebut adalah sebahagian usaha berterusan Samsung untuk memberikan pengalaman penggunaan telefon pintar terbaik kepada pengguna," kata kenyataan itu. - DagangNews.com