Gamuda beli tanah di Rawang pada harga RM360 juta  | DagangNews Skip to main content

Gamuda beli tanah di Rawang pada harga RM360 juta 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Jan - Gamuda Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gamuda Land membeli lapan bidang tanah pegangan bebas di Rawang seluas 532 ekar pada harga RM360 juta.

 

Tanah tersebut yang diperoleh daripada Kundang Properties Sdn. Bhd. akan dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.3 bilion dalam tempoh 10 tahun.

 

Projek pembangunan bercampur itu dijangka dilancarkan pada 2026 dan akan menyumbang kepada kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh enam tahun berikutnya.

 

Ini kerana Gamuda Land terus memberi tumpuan kepada peluang bernilai tinggi di Malaysia dan di luar negara iaitu Vietnam, Australia, Singapura dan United Kingdom (UK).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata, pemerolehan itu akan memperkukuhkan kedudukan syarikat di utara Lembah Klang di mana mereka sudah membangunkan dan melabur dalam Gamuda Gardens.

 

Katanya, projek itu setakat ini mencatatkan keseluruhan purata pengambilan lebih daripada 90% bagi kesemua hartanah yang dilancarkan sejak 2017.

 

"Pemerolehan baharu ini akan membantu menambah semula tawaran kediaman tanah Gamuda Land di kawasan itu sebagai kesinambungan kepada kejayaan Gamuda Gardens.

 

"Kami menjangkakan kadar pengambilan yang lebih besar untuk projek hartanah runcit, riadah dan komersial dalam tempoh dua tahun akan datang untuk disesuaikan dengan pasaran yang sedang berkembang di kawasan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Buat masa ini, baki bank tanah Gamuda Land adalah seluas 3,344 ekar dengan GDV RM55.3 bilion dengan tempoh pembangunan selama 15 tahun. 

 

Bank tanah tersebut bukan sahaja terletak di Malaysia, tetapi merangkumi di Vietnam, Singapura, Australia dan UK. - DagangNews.com