Mohd Najman dilantik sebagai CEO RHB Islamic International Asset Management | DagangNews Skip to main content

Mohd Najman dilantik sebagai CEO RHB Islamic International Asset Management

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - RHB Bank Bhd mengumumkan pelantikan Mohd Najman Md Isa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Pelaburan RHB Islamic International Asset Management Bhd (RHBIIAM) berkuat kuasa 8 April 2024.

 

Sebelum menyertai RHBIIAM, Najman berkhidmat dengan Sumitomo Mitsui DS Asset Management Hong Kong selama enam tahun, di mana beliau merupakan pengurus portfolio ekuiti utama untuk mandat ekuiti Asia Pasifik terpilih kecuali Jepun dan penganalisis utama dalam sektor kewangan Asia yang sedang pesat membangun tidak termasuk pasaran China.

 

Terdahulu, Najman merupakan pengurus portfolio utama untuk syariah Asia terpilih kecuali Jepun dan mandat ekuiti syariah ASEAN di Eastspring Investments Malaysia selama dua tahun selepas bekerja selama lima tahun di Aberdeen Asset Management.

 

Menurut RHB, beliau merupakan seorang penganalisis kewangan bertauliah dan mempunyai lesen wakil perkhidmatan pasaran modal.

 

Pengarah Urusan Perbankan Borong RHB Banking Group, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pelantikan Najman itu adalah langkah strategik yang menekankan komitmen kumpulan itu terhadap pertumbuhan berterusan RHBIIAM.

 

"Dengan keupayaan, pengalaman dan kepakaran pelaburannya yang luar biasa, kami yakin beliau akan menerajui pengembangan portfolio penyelesaian pelaburan patuh syariah kami, memberikan pilihan yang lebih relevan kepada pelanggan," katanya. - DagangNews.com