KUALA LUMPUR 29 Mac - Kerajaan diberikan kontrak kerja awam bagi segmen pertama Transit Aliran Ringan Pulau Pinang (LRT Pulau Pinang) kepada Gamuda Bhd menerusi SRS Consortium Sdn Bhd dan diharap dapat memuktamad perbincangan dengan syarikat itu dalam tempoh enam bulan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan berkata, SRS Consortium diberikan kontrak dengan mekanisme permintaan untuk cadangan (RFP).
Tawaran itu adalah berdasarkan permintaan kerajaan negeri Pulau Pinang yang telah melantik SRS Consortium sebagai rakan kongsi projek pada Ogos 2015.
"Nilai dan butiran kontrak tertakluk kepada rundingan antara SRS Consortium dan pemilik projek Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan," katanya.
Segmen pertama meliputi Pulau Silikon ke Komtar dan merupakan sebahagian daripada LRT Pulau Pinang sejauh 29km yang juga akan menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai di tanah besar bagi menyediakan sambungan kepada rangkaian kereta api KTM Komuter dan ETS sedia ada.
Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan membelanjakan RM10 bilion untuk mengambil alih projek LRT Pulau Pinang, sambil mengecilkan saiz kerja-kerja penambakan yang asalnya dirancang di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Tawaran kepada SRS Consortium itu menandakan satu lagi langkah ke hadapan bagi projek yang dicadangkan sejak 2012 di bawah PTMP, yang diterima pakai pada 2016 oleh kerajaan negeri. Kabinet meluluskan pembangunan projek itu pada 22 Mac 2024.
Loke berkata, masih terlalu awal untuk mendedahkan mendedahkan bajet bagi segmen pertama itu.
"SRS Consortium juga telah menjalankan kajian teknikal dan reka bentuk awal selain mendapatkan kelulusan bagi penilaian kesan alam sekitar, penilaian impak sosial dan skim kereta api bersyarat.
"Semua usaha itu dibiayai oleh oleh mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata, depoh operasi akan dibangunkan bersama projek pembangunan bersepadu berorientasikan transit di Tapak Pesta Sungai Nibong sebagai usaha sama antara MRT Corp dan kerajaan negeri Pulau Pinang.
"Strategi baharu ini bertujuan menjana pendapatan bukan tambang tambahan untuk dilaburkan semula dalam penyelenggaraan LRT Pulau Pinang pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com