KUALA LUMPUR 13 Sept - RHB Investment Bank menyenaraikan Gamuda, Malaysian Resources Corp, Sunway Construction dan IJM Corp sebagai antara syarikat pembinaan yang berpotensi menerima manfaat daripada pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) 3.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat-syarikat berkenaan merupakan kontraktor yang berkelayakan dalam pembinaan infrastruktur kereta api dalam projek-projek laluan MRT sebelum ini.
"Kontraktor seperti Econpile, Gabungan AQRS dan Kimlun juga mungkin berpeluang baik melibatkan diri sebagai subkontraktor kerana mereka tidak hanya mempunyai rekod prestasi baik dalam projek MRT sebelum ini tetapi juga dalam projek tren lain seperti LRT3.
"Butiran lanjut MRT3 dijangka diumumkan semasa sesi pembentangan Belanjawan 2025 bulan depan membabitkan mekanisme pembiayaan, anggaran kos semasa dan juga sama ada pusingan penyerahan semula tender diperlukan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan WAJARAN TINGGI dengan syarikat pilihan utama ialah Gamuda, Kerjaya Prospek, Sunway Construction.
Jelas RHB Investment, mengimbas kembali Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula pada Februari 2023, kerajaan ada menyatakan hasratnya untuk mengkaji semula kos untuk projek MRT3.
"Ini supaya dapat mengurangkan jumlah kos kepada bawah paras RM45 bilion daripada anggaran RM68 bilion pada tahun 2018.
"Risiko negatif utama adalah pelancaran projek ditangguhkan lebih lama daripada yang sepatutnya melepasi tahun 2026," jelasnya.
Menurut RHB Investment, mengikut garis masa yang dikongsikan di reruai pemeriksaan awam MRT3, kelulusan akhir Skim Keretapi dijangka diterima pada suku keempat 2024 sejurus program pemeriksaan awam ini tamat pada 2 Disember.
"Sementara itu, fasa pembinaan sepatutnya bermula pada tahun 2026 (disasarkan siap pada 2032) dan semasa waktu tersebut, proses pemerolehan tanah dijangka sudah selesai atau menghampiri peringkat akhir.
"Maka, kami secara konservatifnya berpendapat bahawa kontrak MRT3 mungkin akan ditawarkan pada lewat 2025 atau pada separuh pertama 2026 berpandukan garis masa untuk MRT1 dan MRT2," ujarnya.
Menurut RHB Investment, Projek MRT3 bakal melibatkan pembinaan 32 buah stesen termasuk tujuh Bawah tanah dan tiga sementara dengan jajaran sepanjang 51km, iaitu 39km bertingkat dan 12km bawah tanah.
Kata firma itu, bilangan pengguna MRT sedia ada mengukuhkan keperluan untuk membina laluan lingkaran berkenaan.
"Berdasarkan data Prasarana Malaysia Berhad, bilangan penumpang MRT Laluan Putrajaya dan Kajang terus mencapai paras tertinggi baharu dengan masing-masing mencecah jumlah pengguna seramai 4.3 juta dan 7.5 juta orang pada bulan Julai tahun ini.
"Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang juga menerima bilangan penumpang paling tinggi iaitu pada 7.6 juta dan 5.6 juta orang.
"Oleh demikian itu, keperluan untuk membina laluan lingkaran MRT3 tidak boleh disangkal lagi agar dapat menampung kadar penggunaan sistem pengangkutan awam yang semakin meningkat di Lembah Klang," katanya. - DagangNews.com