Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Penganalisis kekal berhati-hati terhadap risiko penurunan yang berpotensi bagi pemain industri plastik terutamanya disebabkan gangguan dalam rantaian bekalan yang menyebabkan turun naik harga bahan mentah dan caj muatan.
Selain itu menurut Kenanga Research, kekurangan tenaga kerja, dan pendedahan kepada risiko mata wang asing juga menambahkan risiko kepada syarikat-syarikat terlibat.
Bagaimanapun katanya, untuk jangka masa pendek, pemain industri plastik dijangka menerima pendapatan yang berterusan dalam berikutan penambahan kapasiti dan penyambungan semula tenaga kerja penuh, yang memungkinkan mereka memenuhi jumlah pesanan yang banyak.
"Kami menjangkakan pendapatan yang lebih rendah untuk suku ketiga tahun kewangan 2021 bagi pemain industri berikutan langkah perintah kawalan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan dari bulan Jun hingga September dan kapasiti tenaga kerja yang terhad dan dengan itu menghasilkan output yang lebih rendah," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Tambahnya, pihaknya mengekalkan panggilan NEUTRAL terhadap sektor plastik dan pembungkusan.
Dari segi pemangkin jangka panjang, kami menjangkakan bahawa pemain plastik akan memperluas margin mereka dengan mengejar pertumbuhan produk margin tinggi (produk premium dan khusus), mencapai kecekapan operasi yang lebih tinggi dengan kelajuan tinggi atau mesin automatik, dan pengembangan produk baharu. -DagangNews.com