Perincian kos tambahan dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebanyak RM2.098 bilion termasuk RM1.2 bilion peralatan menimbulkan sedikit keraguan.
Peralatan tersebut dirujuk sebagai pembelian sistem peluru berpandu untuk lima buah kapal yang tidak dimasukkan dalam kos reka bentuk asal kapal itu.
Ini yang dinyatakan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Hasan semasa di Dewan Rakyat minggu lalu.
Jelas beliau, kos yang disebutkan ini bukan kos tambahan kerana kelewatan projek LCS tetapi bagi perolehan persenjataan.
Bagaimana pun, apa jenis persenjataan yang dimaksudkan itu tidak diperincikan termasuk jenisnya sama ada bagi pembelian meriam, torpedo, peluru berpandu atau yang lain.
Lain-lain kos yang termasuk dalam jumlah RM2 bilion tersebut adalah rekabentuk sebanyak RM209.9 juta, insurans dan risiko (RM466 juta), kos kewangan (RM146.7 juta) dan kos pengurusan projek (RM67 juta).
Perkara ini juga sama sepertimana diumumkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semasa membentangkan tentang kemajuan projek LCS bagi tempoh Jun hingga September 2023 lalu.
Kos projek terkini adalah RM11.266 bilion berbanding kos asal RM9.128 bilion dengan tambahan RM2.098 bilion.
Cuma, timbul persoalan mengapa setelah sembilan tahun projek pembinaan LCS berjalan hanya sekarang kos pembelian sistem peluru berpandu timbul.
Tempoh tersebut termasuklah empat tahun kelewatan yang mana sepatutnya LCS pertama disiapkan pada 2019 dan yang terakhir pada tahun ini.
Ini kerana kos pembelian persenjataan peluru berpandu LCS tidak pernah disebutkan sebelumnya iaitu sebaik isu kelewatan pembinaan kapal berlaku.
Jika pun betul seperti kata Menteri Pertahanan bahawa kos pembelian persenjataan tidak dimasukkan dalam kos pembinaan kapal secara keseluruhan, ia adalah sesuatu yang ganjil.
Mengikut pemahaman, kos pembinaan sesebuah kapal perang kebiasaannya termasuklah segala perkara yang berkaitan untuk menyiapkan kapal tersebut termasuklah kos pengurusan.
Justeru, agak pelik apabila tiba pada fasa kapal hampir siap barulah kos membeli persenjataan diumumkan atau perolehan senjata dibuat.
Disebabkan ia melibatkan proses pembinaan kapal, hanya pihak Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) yang mengetahui segala perkara berkaitan.
Malah, semasa awal projek LCS, spesifikasi kapal termasuk persenjataan telah pun diketahui meliputi selaras meriam BAE Systems Mk3 57mm, meriam MSI Seahawk 30mm dan sistem pelancar torpedo J+S Marine.
Kekuatan utama kapal ini ialah sistem peluru berpandu pertahanan udara MBDA VL MICA dan peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) Kongsberg.
Dua sistem peluru berpandu tersebut dikatakan menjadi pilihan TLDM pada tahun 2015 untuk dipasang pada kesemua enam buah LCS.
Kontrak perolehan peluru berpandu NSM Kongsberg ini yang bernilai AS$137 juta telah ditandatangani pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 (DSA) di Kuala Lumpur.
Semasa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi 2019 (LIMA 2019), pihak firma Kongsberg memberitahu telah memulakan pengeluaran peluru berpandu antikapal NSM untuk Malaysia.
Berita perolehan ini juga disiarkan dalam media antarabangsa.
Manakala kejayaan pihak MBDA membekalkan peluru berpandu VL MICA kepada TLDM meyakinkan syarikat itu menawarkan persenjataan sama bagi program menaik taraf kapal-kapal lain TLDM.
Jadi, sama ada kos pembelian persenjataan yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan itu adalah perolehan semula atau perolehan baharu bagi menggantikan sistem yang telah usang, tidak dapat dipastikan.
Logiknya kerana sistem persenjataan seperti peluru berpandu mempunyai tempoh hayat tertentu termasuk kos penyelenggaraan bagi memanjangkan jangka hayat.
Sebenarnya, sejak kelewatan projek LCS empat tahun lalu, banyak maklumat yang diumumkan oleh pihak Kementerian Pertahanan seringkali berbeza dan bertukar-tukar.
Ini juga menyebabkan pihak awam termasuk pengkaji pertahanan tempatan keliru dengan program LCS termasuk status serta keupayaan projek tersebut diteruskan.
Perkara ini boleh dilihat dengan merujuk kembali kenyataan-kenyataan Kementerian Pertahanan pada setiap kerajaan semasa yang mentadbir antara tahun 2019 hinggalah sekarang.
Semasa majlis pelancaran LCS pertama di Lumut, Perak enam tahun lalu, keadaan yang digambarkan ialah kapal tersebut hampir siap.
Apabila kapal telah dinamakan sebagai KD Maharaja Lela, bermakna secara tidak rasmi ia telah menjadi aset TLDM dan hanya menanti fasa-fasa akhir sebelum diserahkan.
Pada masa itu KD Maharaja Lela ditetapkan oleh BNS untuk diserahkan kepada TLDM pada 2019 iaitu selepas menjalani proses ujian di pelabuhan dan laut serta ujian penembakan.
Melalui kontrak perolehan antara kerajaan Malaysia dan BNS semasa dimeterai pada 2014, kesemua enam buah LCS akan disiapkan dengan harga RM1.5 bilion sebuah.
Keenam-enam kapal itu dijadualkan akan beroperasi menjelang tahun 2023.
Kini, hanya lima yang dijanjikan untuk disiapkan BNS dan kerajaan dengan LCS pertama pada Ogos 2026 dan yang akhir pada April 2029.- DagangNews.com