GDB Holding raih projek pembinaan hospital swasta bernilai RM306 juta di Bukit Jalil | DagangNews Skip to main content

GDB Holding raih projek pembinaan hospital swasta bernilai RM306 juta di Bukit Jalil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - GDB Holdings Berhad menerusi Grand Dynamic Builders Sdn. Bhd. berjaya meraih projek bernilai RM306 juta bagi pembangunan sebuah hospital swasta di Bukit Jalil.

 

Grand Dynamic Builders dilantik oleh KL International Hospital Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat KL Wellness City sebagai kontraktor utama bagi projek tersebut. 

 

Kumpulan itu berkata, projek itu termasuk pelaksanaan, prestasi, reka bentuk, pembinaan, penyiapan, pentauliahan mesin dan peralatan, dan penyelenggaraan bangunan hospital tersebut.

 

Katanya, pembinaan hospital itu akan dijalankan dalam tempoh 25 bulan, bermula pada 16 Mac 2024.

 

Hospital itu akan hab bertaraf dunia untuk penjagaan kesihatan dan perkhidmatan perubatan domestik dan antarabangsa, menampilkan pusat kecemerlangan merentasi bidang termasuk kardiologi, kesihatan tulang belakang, kesihatan neurologi, perubatan sukan, pembedahan kosmetik dan kesuburan.

Pengarah Urusan GDB Group, Cheah Ham Cheia berkata, pihaknya berbesar hati dipilih untuk melaksanakan pembinaan hospital di KL Wellness City, dan memainkan peranan penting dalam mendirikan bangunan mercu tanda di bandar itu.

 

"Kontrak itu menandakan satu peristiwa penting ketika kami memulakan pembinaan hospital tercanggih dan pada masa yang sama meningkatkan rekod prestasi kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Menerusi kejayaan itu, GDB berkata buku pesanan semasanya meningkat kepada RM475 juta berbanding RM169 juta pada akhir September 2023. 

 

Kumpulan itu berhasrat untuk membiayai projek itu dengan dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman bank.

 

Bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2023, untung bersih GDB susut 77.27% kepada RM3.45 juta berbanding RM15.18 juta setahun sebelumnya apabila hasil turun 46.4% kepada RM238.6 juta daripada RM445.22 juta. - DagangNews.com