GDEX dijangka laksanakan pengambilalihan dan penggabungan pada 2022 | DagangNews Skip to main content

GDEX dijangka laksanakan pengambilalihan dan penggabungan pada 2022

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - Tahun 2022 akan menyaksikan tahun pengembangan buat GDEX Bhd. yang sebelum ini dikenali sebagai GD Express Carrier Bhd. 

 

Dalam nota kajian, AmInvestment Bank Research berkata, GDEX sepatutnya melengkapkan pengembangan penyusunan kapasiti pada tahun ini.

 

Katanya, ia akan menyaksikan kapasiti semasa meningkat sekali ganda kepada 350,000 bungkusan sehari berbanding ketika ini, 150,000 sehari. 

 

"Kami percaya, langkah ini akan mengurangkan lagi kos operasi GDEX dalam jangka masa panjang yang ketika ini adalah sekitar RM20 juta hingga RM25 juta," katanya. 

 

Secara dasarnya, GDEX ditubuhkan pada 1997 yang kemudiannya pada 2000, Teong Teck Lean muncul sebagai pemegang saham utama. Beliau berjaya mengubah syarikat tersebut dan kembali mencatat keuntungan.

 

GDEX disenaraikan di Pasaran ACE pada 2005 dan melangkah ke Papan Utama Bursa Malaysia pada 2013. 

 

Syarikat pengangkutan dan logistik ini merupakan antara peneraju pasaran dalam industri penghantaran 'last-mile' di Malaysia. 

 

Selain itu, ia juga mempunyai operasi di Vietnam (menerusi 50% pegangan dan Netco), Indonesia (44.5% pegangan dalam PT SAP Express) dan Singapura (operasi yang kecil). 

 

Setakat September 2021, GDEX memiliki 1,420 kenderaan dan 4,330 pekerja bagi menyokong operasinya. 

 

AmInvestment mendapati kedudukan tunai bersih kumpulan itu mengukuh sebanyak 3% kepada RM281 juta pada suku ketiga 2021.

 

Katanya, tumpuan GDEX adalah untuk menjana aliran tunai yang positif walaupun persaingan sengit telah menghasilkan kedudukan tunai yang lebih tinggi.

 

"Kami percaya, GDEX bersedia untuk melaksanakan aktiviti pengambilalihan dan penggabungan (M&A). Perlu diambil perhatian juga, ia telah mengubah nama syarikat kepada GD Express Carrier kepada GDEX Bhd. pada 22 Disember 2020. 

 

"Ini berkemungkinan merupakan strategi kumpulan untuk bersedia berkembang dalam perniagaan lain selain industri penghantaran 'last-mile'," jelasnya.

 

Bagaimanapun, firma itu mendapati, risiko kepada perniagaan GDEX termasuklah persaingan yang lebih tinggi daripada jangkaan dan kos kakitangan yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

"Di samping itu, risiko lain ialah pertumbuhan permintaan e-dagang yang lebih rendah daripada jangkaan," tambah firma itu. 

 

Setakat 12.12 tengah hari ini, saham GDEX menokok 0.05 sen atau 1.75% kepada 29 sen dengan 126,700 saham diniagakan. - DagangNews.com